[VIDEO] Ibu, bapa tiri dituduh bunuh anak lapan tahun

A
A
A

SELAYANG - Seorang bapa tiri dan isterinya didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa, atas satu pertuduhan membunuh anak sulung wanita itu, dua minggu lalu.

Pengawal keselamatan, Mohamad Zulhelmy Amirrudin, 29, dan suri rumah, Norfazira Radzi, 30, yang memakai baju hitam, mengangguk faham selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret, Chai Guan Hock.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada pasangan suami isteri berkenaan kerana kes itu berada bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama membunuh Nur Anissa Afiera Muhamad Zulhafize, 8, di sebuah pangsapuri di Bandar Tasik Puteri, Rawang di sini, pada jam 11.51 pagi hingga 3.51 petang, 17 Ogos lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun.

Norfazira menangis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang pada Selasa, bagi menghadapi satu pertuduhan membunuh anak sulungnya, dua minggu lalu.
Norfazira menangis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang pada Selasa, bagi menghadapi satu pertuduhan membunuh anak sulungnya, dua minggu lalu.

Sekiranya tidak dihukum gantung, tertuduh hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Izariah Zainal manakala pasangan tertuduh berkenaan tidak diwakili peguam.

Artikel Berkaitan:

Guan Hock tidak membenarkan mereka diikat jamin dan menetapkan sebutan semula kes untuk laporan kimia serta bedah siasat, pada 16 Oktober depan.

Mohamad Zulhelmy dan Norfazira dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang pada Selasa, bagi menghadapi satu pertuduhan membunuh kanak-kanak lapan tahun, dua minggu lalu.
Mohamad Zulhelmy dan Norfazira dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang pada Selasa, bagi menghadapi satu pertuduhan membunuh kanak-kanak lapan tahun, dua minggu lalu.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, hasil siasatan polis mendapati, kanak-kanak malang itu dipercayai dipukul dengan tangan, kaki, tali pinggang, penyangkut baju dan senjata tumpul sehingga maut.

Mangsa disahkan meninggal dunia di rumahnya oleh pembantu pegawai perubatan Hospital Sungai Buloh.

Pemeriksaan awal ke atas tubuh badan mangsa mendapati terdapat kesan kecederaan di bahagian muka, bibir, paha, dagu dan lutut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!