Muhyiddin mengaku tidak bersalah ceramah isu 3R

Muhyiddin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Gua Musang pada Selasa atas pertuduhan berhubung isu berkaitan 3R. Foto Bernama
Muhyiddin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Gua Musang pada Selasa atas pertuduhan berhubung isu berkaitan 3R. Foto Bernama
A
A
A

GUA MUSANG - Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada Selasa atas pertuduhan berhubung isu berkaitan kaum, agama dan raja (3R) ketika menyampaikan ceramah dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di sini baru-baru ini.

Muhyiddin, 77, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri.

Mengikut pertuduhan, Muhyiddin didakwa melakukan perbuatan itu di kawasan lapang berhampiran Dewan Semai Bakti Felda Perasu.

Beliau didapati menyebut perkataan yang menghasut pada 14 Ogos 2024 antara jam 10.30 hingga 11.50 malam.

Melalui ceramah berkenaan, terdapat ayat: "Saya nak ceritakan mungkin orang Nenggiri ingatkah tak ingat. Saya waktu itu, sekali lagi diberikan sokongan ada 115 ahli Parlimen yang sokong saya. Ikut Perlembagaan kalau saya sebagai ahli Parlimen ada dapat sokongan 114, campur saya Muhyiddin Yassin ada satu Parlimen jadi 115. Kerusi Parlimen 222. Kalau bahagi dua berapa? 111... kalau dapat lebih satu dia boleh bentuk kerajaan tapi saya dapat 115.

"Kalau ikut kiraan Perlembagaan saya sudah ada jumlah yang lebih daripada mencukupi untuk jadi Perdana Menteri. Ini bukan nak mengungkit tapi it's a record of history. Tapi entah macam mana Yang Dipertuan Agong waktu itu tak jemput saya pergi Istana angkat sumpah. Siapa yang Dipertuan Agong dulu? Faham dah la eh. Kita tak nak cerita apa-apa buruk eh tapi yang itu bagi saya agak luar biasa... tapi takpe lah. Maka lepas tu terbentuklah kerajaan Perpaduan... sekarang ni kita panggil kerajaan Madanon".

Oleh itu, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) didakwa melakukan kesalahan di bawah perenggan 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Kes dikendalikan enam Timbalan Pendakwa Raya diketuai Datuk Umar Saifuddin Jaafar manakala Muhyiddin diwakili lima peguam iaitu Amer Hamzah Arshad, Chetan Jethwani, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Mohd Nasir Abdullah dan Mariana Mat Kudin.

Artikel Berkaitan:

Semasa prosiding, Umar Saifuddin mencadangkan jaminan RM20,000 kepada tertuduh dan memohon perintah larangan agar tertuduh tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara itu.

Bagaimanapun, pihak pembelaan diwakili Amer Hamzah memohon kadar ikat jamin dikurangkan dengan mengambil kira beberapa kes sebelum ini yang berada di bawah seksyen sama iaitu memperuntukkan jumlah denda tidak melebihi RM5,000.

Mahkamah membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin serta menolak perintah larangan bersuara yang dipohon pendakwaan.

Hakim turut menetapkan 4 November depan untuk sebutan semula kes.

@sinarharianonline

Muhyiddin mengaku tidak bersalah menghasut Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa di Mahkamah Sesyen Gua Musang hari ini, atas tuduhan mengeluarkan perkataan menghasut di Felda Perasu pada 14 Ogos lalu. Muhyiddin bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri. Muzik: Elevate dari www.bensound.com #SinarHarian #BeritaSemasa #Mahkamah #Muhyiddin #AktaHasutan

original sound - Sinar Harian

Sebelum itu, Muhyiddin tiba di Mahkamah Sesyen Gua Musang pada jam 8.43 pagi bagi menghadapi pertuduhan berkenaan susulan ceramahnya yang didakwa menyentuh isu raja, agama dan kaum (3R) pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, awal bulan ini.

Kira-kira 1,000 penyokong beliau memenuhi pekarangan mahkamah diiringi laungan takbir.

Turut dilihat mengiringi beliau ialah Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Mohd Radzi Mat Jidin; Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Pengerusi PN itu kemudian dilihat keluar dari perkarangan mahkamah jam 10.30 pagi selepas membayar ikat jamin.

Ringkasan berita:

  • Kes: Tan Sri Muhyiddin Yassin mengaku tidak bersalah atas tuduhan berkaitan isu kaum, agama, dan raja (3R) semasa ceramah kempen PRK DUN Nenggiri.
  • Lokasi & Tarikh: Pertuduhan berlaku di kawasan berhampiran Dewan Semai Bakti Felda Perasu pada 14 Ogos 2024.
  • Tuduhan: Menghasut di bawah Akta Hasutan 1948, boleh dihukum dengan denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya.
  • Peguam & Pendakwaan: Muhyiddin diwakili lima peguam, kes dikendalikan oleh enam Timbalan Pendakwa Raya.
  • Jaminan: Mahkamah menetapkan jaminan RM5,000 tanpa larangan bersuara.
  • Tarikh Sebutan Semula Kes: 4 November 2024.
  • Penyokong: Kira-kira 1,000 penyokong hadir di mahkamah bersama beberapa pemimpin PN.
Dijana oleh AI

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!