Brighton sambar O'Riley dari Celtic
KELAB Liga Perdana Inggeris (EPL) Brighton menandatangani pemain tengah Denmark, Matt O'Riley dari kelab Liga Perdana Scotland, Celtic dengan kontrak lima tahun.
Butiran kewangan tidak didedahkan, namun media Britain melaporkan perjanjian itu bernilai sekitar 25 juta pound sebahagian usaha jangka panjang meningkatkan daya saing The Seagulls kendalian Fabian Hurzeler.
“Dia tidak hanya pakar di posisinya, tetapi juga mempunyai naluri pertahanan yang baik.
“Keseimbangan itu menjadikan dia cukup istimewa. Dia juga memiliki karakter hebat, selain bercita-cita untuk berjaya dan itu sesuatu yang sangat penting bagi kami di Brighton,” kata Hurzeler mengenai pembelian baharunya.
Pemain kelahiran London berusia 23 tahun itu beraksi dua kali untuk Denmark, memulakan karier seniornya bersama kelab EPL, Fulham sebelum berpindah ke pasukan Liga Dua Inggeris, Milton Keynes Dons.
Dia menjaringkan 27 gol dan memberikan 35 bantuan dalam 124 penampilan untuk Celtic yang disertai pada 2022.
Brighton, yang mengejutkan Manchester United 2-1 dalam EPL pada Sabtu, akan menjadi tuan rumah kepada kelab Liga Satu Inggeris, Crawley Town dalam Piala Liga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!