Jumlah rebat akan dipapar pada bil air pengguna domestik bermula September

Pathmanathan
Pathmanathan
A
A
A

GEORGE TOWN - Jumlah rebat akan dipaparkan pada setiap bil 597,705 pengguna air domestik di Pulau Pinang bermula September hingga Disember ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk K Pathmanathan berkata, setiap pengguna domestik akan memperoleh penjimatan keseluruhan berjumlah RM18.60.

Menurutnya, semua pengguna air domestik tidak akan dicaj untuk penggunaan 10m3 (10,000L) pertama dalam bil air dwi-bulanan untuk tempoh enam bulan iaitu Julai sehingga Disember.

"Ini adalah mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan Pulau Pinang pada Jun lalu susulan pelaksanaan kadar air domestik baharu bagi tahun 2024 di negeri ini seperti yang dikawal oleh kerajaan Persekutuan.

"Oleh itu, rebat tersebut akan dipaparkan pada bil pengguna domestik dengan jumlah keseluruhan rebat adalah RM11 juta. Ia akan dipaparkan dalam bil yang dikeluarkan oleh PBAPP daripada September hingga Disember 2024," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah Pathmanathan, rebat tersebut hanya untuk pengguna domestik dan tidak terpakai kepada pengguna bukan domestik, pengguna domestik pukal, pengguna perkapalan, rumah ibadat atau institusi kebajikan.

"Bergantung kepada tarikh pengebilan, rebat akan tertera dalam bil yang dikeluarkan pada kitaran pengebilan iaitu September/Oktober 2024 (RM12.40) dan November/Disember 2024 (RM6.20).

"Pengguna domestik yang tidak mendapat rebat dalam bil mereka diminta untuk menghubungi Pusat Panggilan 24 Jam PBAPP di talian 042558255 atau mengunjungi salah satu daripada sembilan Pusat Khidmat Pelanggan PBAPP iaitu di Komtar, Balik Pulau, Bayan Baru, Bukit Mertajam,Jawi, Kepala Batas, Kompleks Perai, Padang Tembak dan Taman Selat," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Kata beliau lagi, keluarga besar iaitu lapan orang atau lebih dengan pendapatan isi rumah maksimum RM5,580 sebulan juga layak mendapat rebat RM20 daripada bil air domestik dwi-bulanan mereka.

"Isi rumah yang layak akan melihat rebat mesra keluarga ini dalam bil air domestik mereka mulai September ini. Mereka yang ingin memohon rebat ini boleh mengunjungi Pusat Khidmat Pelanggan PBAPP berhampiran," katanya.

Pathmanathan berkata, PBAPP juga telah membuat pelarasan untuk mengehadkan jangka masa pengebilan dwi-bulanan kepada maksimum 63 hari mulai Oktober 2024.

"Had 63 hari adalah untuk menampung cuti umum dan cuti mingguan yang mungkin berlaku pada hujung pengebilan. Siasatan telah mengesahkan bahawa beberapa pengguna air domestik telah dibilkan untuk penggunaan dalam tempoh masa sehingga 67 hari, sejak Mac lalu.

"Kelewatan pengebilan ini disebabkan oleh bilangan cuti umum sepanjang enam bulan yang lalu selain beban kerja pembacaan meter yang semakin meningkat," katanya.

Jelas beliau, PBAPP telah menambah peruntukan tuntutan kerja lebih masa untuk pembaca meter bagi memastikan bil air Pulau Pinang dikeluarkan tepat pada masanya.

"Pada Jun lalu, PBAPP telah melayani 696,910 pengguna air di seluruh negeri. Bagaimanapun, PBAPP dijangka menggunakan lebih banyak pembaca meter dalam tempoh enam bulan akan datang.

"Oleh itu, bermula 1 Oktober ini, pengguna air domestik yang menerima bil yang meliputi tempoh masa melebihi 63 hari diminta untuk mengunjungi Pusat Khidmat Pelanggan PBAPP terdekat untuk pelarasan bil," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!