Pengadu mengaku hantar gambar kepada Ebit Lew

Ram menyambut anak guamnya, Ebit Lew yang tiba di Mahkamah Tenom bagi menghadiri perbicaraan kesnya.
Ram menyambut anak guamnya, Ebit Lew yang tiba di Mahkamah Tenom bagi menghadiri perbicaraan kesnya.
A
A
A

TENOM - Pengadu dalam kes Ebit Lew mengaku kepada mahkamah bahawa dalam gambar tangkap layar perbualan menerusi aplikasi WhatsApp pada jam 3.51 pagi 18 Mei 2021 adalah foto wajahnya yang dihantar kepada pendakwah tersebut.

Malah pengadu yang juga saksi kesembilan turut bersetuju dengan andaian peguam bela, Datuk Ram Singh dalam pemeriksaan balasnya bahawa dalam tempoh satu minit perbualan mesej tersebut dia telah menghantar gambarnya sendiri.

Pengadu kemudian diminta menjelaskan kenapa dia menghantar gambarnya pada awal pagi dengan teks 'senyum awak manis'.

"Sebab dia minta," katanya dan turut bersetuju dalam perbualan mesej tersebut terdapat beberapa mesej yang dihantar sebelumnya berkaitan dengan payudara.

Pengadu juga bersetuju dengan Ram bahawa dia telah menghantar gambar dengan senyuman yang manis berserta berlatarkan rama-rama di sekelilingnya.

"Setuju, tetapi itu gambar bukan masa itu," katanya.

Diminta jelaskan bila gambar itu diambil, pengadu mengatakan dia tidak pasti namun bukan diambil pada jam 3.50 pagi hari tersebut.

Ram dalam pada itu mengandaikan bahawa pengadu mereka cerita ketika memberi keterangan di mahkamah susulan keterangannya bahawa dia marah dan memberitahu suami, rakan baik, pegawai penyiasat mengenai perkara itu tetapi tanpa memberi tahu kepada mereka bahawa pengadu ada memberi gambar dengan senyuman yang manis berserta rama-rama disekelilingnya.

Artikel Berkaitan:

Namun perkara itu disangkal pengadu lalu menjelaskan bahawa dia marah sebab terikut arahan Ebit Lew dan memarahi pendakwah tersebut apabila menyedarinya.

Bagaimanapun, dalam pemeriksaan balas tersebut, Ram bertanya kenapa ada beberapa teks mesej telah dipadam termasuk mesej berkaitan payudara.

"Saya tak pasti, tapi memang ada gambar dan teks dari saya dan dia yang saya sudah padam," katanya.

Sebelum itu, Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim, 38, berhadapan dengan 11 pertuduhan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Perbicaraan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Zahida Zakaria dan Analia Kamaruddin.

Ebit Lew diwakili oleh Ram, Kamarudin Mohmad Chinki, Timothy Daut, Mohd Syarulnizam Salleh Keruak dan Prem Elmer Ganasan manakala Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani.

Perbicaraan ditangguh dan disambung semula jam 2 petang Selasa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!