Pembantu penguat kuasa ditahan lindung sindiket seludup diesel

Seorang pembantu penguat kuasa sebuah agensi penguatkuasaan ditahan SPRM kerana disyaki menerima rasuah daripada sindiket penyeludupan minyak diesel.
Seorang pembantu penguat kuasa sebuah agensi penguatkuasaan ditahan SPRM kerana disyaki menerima rasuah daripada sindiket penyeludupan minyak diesel.
A
A
A

PUTRAJAYA - Seorang pembantu penguat kuasa sebuah agensi penguatkuasaan ditahan kerana disyaki menerima rasuah daripada sindiket penyeludupan minyak diesel yang beroperasi di Sibu, Sarawak.

Perintah reman selama enam hari sehingga 2 September ini terhadap suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu dikeluarkan Majistret Mason Jaro selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Kuching, pagi Selasa.

Menurut sumber, suspek ditahan di Pejabat SPRM Sarawak pada jam 3.25 petang Isnin ketika hadir bagi dirakamkan keterangan.

"Tangkapan terhadap pembantu penguat kuasa ini adalah susulan Op Liter dijalankan Bahagian Operasi Khas SPRM di sebuah depoh penyimpanan minyak di Sungai Bidut, Sibu pada Ahad lalu.

"Suspek dipercayai telah menerima wang rasuah berkenaan daripada sindiket terbabit bagi melindungi kegiatan penyeludupan minyak diesel bersubsidi dan supaya tidak mengambil tindakan undang-undang," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM 2009.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan akan ada tindakan susulan serta tangkapan lain dalam masa terdekat.

Terdahulu, dua beradik yang juga pengusaha stesen minyak direman kerana terbabit sindiket penyeludupan diesel dan merasuah pegawai agensi penguat kuasa bagi mengelak dikenakan tindakan penguatkuasaan.

Artikel Berkaitan:

Suspek dipercayai terbabit dengan sindiket penjualan minyak diesel bersubsidi bagi kegunaan nelayan, namun dijual pada harga lebih tinggi kepada pembeli dari luar negara.

Sindiket itu dipercayai telah beroperasi sejak 2012 dan mengaut keuntungan sehingga RM400 juta.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!