Teliti semula pelaksanaan lesen platform media sosial - Gerakan

Dominic Lau. Laporan Sinar Harian
Dominic Lau. Laporan Sinar Harian
A
A
A

KUALA LUMPUR - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menggesa kerajaan meneliti semula pelaksanaan lesen platform media sosial, agar tidak menjejaskan pertumbuhan ekonomi digital negara.

Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, sumbangan ekonomi digital kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dijangka meningkat daripada 23 peratus pada masa kini kepada 25.5 peratus menjelang akhir tahun depan.

Sehubungan itu, beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu memberi perhatian serius terhadap surat yang diterima daripada Asian Internet Coalition (AIC).

"Dalam konteks perkembangan ekonomi digital yang pesat, kerajaan seharusnya memperkukuhkan dialog dengan syarikat teknologi ini mengenai isu-isu dasar internet dan amalan terbaik," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Terdahulu, media melaporkan, AIC dalam surat terbuka kepada Anwar itu menggesa kerajaan menangguhkan rancangan untuk mewajibkan permohonan lesen oleh semua perkhidmatan media sosial dan pesanan internet yang mempunyai sekurang-kurang lapan juta pengguna berdaftar di negara ini.

AIC yang anggotanya termasuk Google, Meta, X, Apple Inc dan Amazon mendakwa langkah pelesenan itu 'tidak boleh dilaksanakan' bagi industri berkenaan serta boleh mengekang inovasi dengan meletak beban tidak wajar terhadap perniagaan.

Mengulas lanjut, Dominic turut mencadangkan agar kerajaan merujuk kepada Akta Jenayah Siber yang dilaksanakan oleh Singapura, yang menghendaki penyedia perkhidmatan melaksanakan langkah-langkah pengesahan yang munasabah bagi menghalang pengguna palsu atau bot dalam talian.

Jelasnya, pengguna perlu menggunakan fungsi pengesahan log masuk yang kuat, termasuk mewajibkan pendaftaran menggunakan kad pengenalan.

Artikel Berkaitan:

"Pengawalan ketat terhadap media sosial dapat mengelakkan ia daripada terus disalahgunakan sebagai saluran penipuan dalam talian, tetapi ia tidak sepatutnya digunakan sebagai alat untuk menindas kebebasan bersuara yang adil dan benar.

"Apa yang menyedihkan ialah mereka yang dahulunya bersuara lantang mempertahankan hak asasi manusia, kini giat menindas hak tersebut. Hanya kerajaan diktator yang akan berusaha untuk mengawal kebebasan bersuara dan tidak membenarkan sebarang kritikan," ujarnya.

Dalam kenyataan sama, Dominic berkata, kebebasan bersuara dalam negara kini dihadkan oleh beberapa undang-undang, termasuk Akta Hasutan yang dahulunya pemimpin Pakatan Harapan berjanji untuk memansuhkannya, tetapi kini digunakan untuk mengambil tindakan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau turut mengingatkan kerajaan bahawa pencapaian ekonomi digital negara dalam beberapa tahun kebelakangan ini adalah hasil daripada kelebihan geografi, sumber tenaga, serta dasar sokongan kerajaan yang menarik banyak syarikat antarabangsa untuk melabur dalam pembinaan pusat data.

"Kehadiran syarikat-syarikat teknologi ini bukan sahaja dapat merangsang pembangunan teknologi negara dan ekonomi digital, malah membantu negara kita melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

"Ini adalah model operasi yang memberikan pelbagai faedah, yang sepatutnya kita perkuatkan, bukan mengehadkannya dengan undang-undang," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!