Penyelia asrama pekerja parah dibelasah

Gambar kecil: Azam
Gambar kecil: Azam
A
A
A

AMPANG - Tiga lelaki termasuk seorang remaja diberkas pada Ahad, untuk siasatan kes pukul penyelia asrama pekerja hingga parah di Taman Ampang Utama, di sini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, laporan diterima pihaknya pada jam 11.16 malam, Sabtu lalu daripada pengarah syarikat yang memaklumkan pekerjanya lelaki tempatan dipukul di tangan dan kepala hingga tidak sedarkan diri.

Katanya, mangsa berusia 28 tahun itu kemudian dikejarkan ke Hospital Ampang.

"Bertindak hasil maklumat, keesokan harinya sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya telah menahan seorang lelaki berusia 21 tahun di Bandar Bukit Puchong, Selangor.

"Dua lagi suspek berumur 24 dan 16 tahun kemudian turut ditahan di Taman Putra Perdana, Puchong, hari yang sama," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, kesemua suspek yang positif dadah hasil ujian air kencing masing-masing mempunyai rekod lampau kes dadah.

Katanya, dua suspek direman tujuh hari, manakala seorang lagi iaitu remaja berkenaan direman satu hari.

Jelas beliau, motif kejadian adalah disebabkan suspek utama tidak berpuas hati terhadap mangsa yang sering memberikan teguran disiplin selain mangsa yang melaporkan kehilangan kabinet di dalam asrama pekerja terbabit.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!