Maqis rampas jering, petai ada ulat perosak

Jering dan petai bernilai RM200 yang dibawa masuk ke negara ini secara tidak sah.
Jering dan petai bernilai RM200 yang dibawa masuk ke negara ini secara tidak sah.
A
A
A

MELAKA - Kira-kira empat kilogram jering dan petai yang dibawa masuk dari negara jiran secara tidak sah berjaya dirampas oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Melaka dan Negeri Sembilan, pada minggu lalu.

Pengarahnya, Nora Dinah Abdul Rahman berkata, dalam kejadian 20 Ogos lalu, pihaknya berjaya menemukan ulaman itu yang disembunyikan dalam sebuah kotak dan dianggarkan bernilai RM200.

Menurutnya, hasil pemeriksaan rutin yang dilakukan oleh pegawai penguat kuasa Maqis di laluan Jeti Penumpang Port Dickson, Negeri Sembilan mendapati produk pertanian itu tidak mempunyai sebarang dokumen pengimportan yang sah.

Pegawai penguat kuasa menunjukkan ulaman yang dirampas pada minggu lalu.
Pegawai penguat kuasa menunjukkan ulaman yang dirampas pada minggu lalu.

"Apabila diperiksa ia tidak mematuhi syarat import sebagaimana dinyatakan dalam perakuan seperti sijil fitosanitasi.

"Persampelan yang dilakukan juga mendapati hasil rampasan itu mengandungi ulat 'Mussidia pectinicornella' yang berisiko kepada komoditi pertanian di negara ini," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Jelasnya, individu yang ingkar mengimport tanpa mematuhi syarat import boleh dikenakan prosiding undang-undang mengikut Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

"Tindakan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian, tumbuhan, binatang, karkas, ikan, tanih dan mikroorganisma tanpa permit, lesen atau perakuan yang sah adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta 728.

Artikel Berkaitan:

"Sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali," katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!