Agensi pelancongan dakwa terpaksa tanggung kerugian kerana difitnah

Ahmad Habibillah menunjukkan salinan blog yang mendakwa syarikat agensi pelancongan miliknya tidak berdaftar dan menipu pelanggan.
Ahmad Habibillah menunjukkan salinan blog yang mendakwa syarikat agensi pelancongan miliknya tidak berdaftar dan menipu pelanggan.
A
A
A

BESUT - Pemilik sebuah agensi pelancongan terpaksa menanggung kerugian selepas didakwa melakukan penipuan oleh penulis sebuah blog sejak tiga tahun lalu.

Ahmad Habibillah Abdullah, 54, berkata, dia telah mengambil tindakan terhadap blog tersebut dengan membuat laporan polis pada 22 September 2021.

Bagaimanapun katanya, setakat ini tiada tindakan diambil menyebabkan dia terpaksa tampil untuk membersihkan nama agensi tersebut.

"Pada 14 November tahun sama kami dimaklumkan oleh jemaah yang ingin menyertai umrah melalui wakil syarikat berkenaan blog bertajuk 'Darul Muttaqin Penipu'.

"Sebelum itu, rakan saya turut memberitahu mengenai blog sama yang mendakwa syarikat saya menipu dan mendedahkan butiran peribadi pelanggan.

"Apabila saya membuka blog tersebut saya dapati penulis telah membuat fitnah dengan tulisan yang bertujuan menjatuhkan imej syarikat serta mengaibkan saya, isteri, keluarga, dan rakan-rakan yang menyertai agensi pelancongan ini," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Kampung Air Tawar di sini pada Selasa.

Jelasnya lagi, pihak syarikat turut berdepan kerugian apabila pelanggan membatalkan tempahan sebaik sahaja terbaca catatan pada blog tersebut.

"Hampir 90 peratus wakil kami mengundurkan diri berpunca daripada perkara ini.

Artikel Berkaitan:

"Kami juga gagal mempromosikan perkhidmatan ini selepas carian di internet menemui catatan blog tersebut," katanya.

Menurut Ahmad Habibillah, laporan polis dibuat sebelum ini sebagai rujukan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya membuat siasatan, sekatan dan mengambil tindakan undang-undang terhadap penulis blog tersebut.

"Agensi pelancongan kami merupakan syarikat berdaftar dengan Kementerian Pelancongan Malaysia (MOTAC) yang didaftarkan atas nama Darul Muttaqin Travel Sdn Bhd.

"Ia bercanggah dengan dakwaan blog tersebut bahawa agensi pelancongan ini tidak berdaftar dan menipu pelanggan.

"Saya amat berharap agar satu tindakan dapat dilakukan termasuk menurunkan catatan pada blog tersebut," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!