Rugi RM80,000 akaun media sosial digodam, kad kredit disalah guna
PETALING JAYA - Seorang peniaga aksesori telefon kerugian lebih RM80,000 selepas kad kredit disalah guna untuk pembayaran pengiklanan dalam talian tanpa kebenaran.
Mangsa dikenali Kan, 45, berkata, ia selepas akaun media sosialnya diceroboh oleh penggodam dari Vietnam.
Menurutnya, kejadian hanya disedari selepas menerima penyata bank bulanan membabitkan perbelanjaan kad kredit yang terlalu tinggi.
"Selepas disemak, perbelanjaan tersebut daripada kos pengiklanan dalam tempoh 17 hari membabitkan transaksi lebih RM80,000.
"Saya tidak menerima sebarang notifikasi transaksi tersebut menyebabkan kejadian disedari lewat," katanya pada sidang akhbar bersama Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung di di Pusat Khidmat Rakyat Petaling Jaya pada Selasa.
Ken berkata, dia menggunakan khidmat iklan di platform tersebut untuk mempromosi perniagaannya namun menumpukan pasaran tempatan dan meletakkan tetapan had maksimum sehingga RM2,000 sahaja.
"Bagaimanapun, didapati tetapan tersebut telah diubah tanpa kebenaran yang ada antara transaksi mencecah RM23,000 sehari.
"Secara tiba-tiba, iklan tersebut tersebar secara meluas hingga ke Amerika Syarikat, Canada dan Australia serta menggunakan bahasa Vietnam," katanya.
Susulan itu katanya, laporan polis telah dibuat selain laporan ke Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), perbankan dan penyedia platform media sosial terlibat juga dilakukan bagi mendapatkan semula wang tersebut.
"Kes telah berlanjutan selama lapan bulan, pihak bank hanya dapat menyekat penggunaan kad kredit saya namun bagi urusan mendapatkan 'refund' adalah di bawah tanggungjawab penyedia platform tersebut.
"Saya sedih dan kecewa kerana telah lebih 50 emel dihantar kepada penyedia platform tersebut namun sehingga kini aduan saya belum diselesaikan dan masih berstatus dalam siasatan," katanya.
Sementara itu, Chean Chung berkata, pihaknya berharap aduan pengadu dapat diselesaikan dengan serius oleh penyedia platform tersebut.
"Mangsa merupakan seorang pelanggan setia dan telah membelanjakan ratusan ribu untuk khidmat iklan atas talian namun berlaku situasi di luar jangkaan apabila akaun media sosialnya digodam dan kad kreditnya disalah guna.
"Kes telah berlanjutan selama lapan bulan namun mangsa belum dapat satu penyelesaian memuaskan.
"Saya harap platform media sosial itu dapat memberikan respon dan aduan ini sepatutnya diselesaikan menggunakan manusia (khidmat pelanggan) dan bukan dijawab oleh robot," katanya.
Pada masa sama katanya,beliau berharap SKMM sebagai badan kawal selia media sosial dapat membantu memberi keadilan kepada mangsa khususnya membabitkan scammer dan akaun digodam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!