Seorang lagi suspek kes tetak lelaki hingga mati ditahan
JASIN - Seorang lagi individu direman berhubung kes bunuh seorang lelaki yang ditetak sekumpulan lelaki bertopeng bersenjatakan parang di Taman Rim Baru di sini pada malam Ahad.
Lelaki berusia 21 tahun dan memakai pakaian lokap berwarna ungu tiba di Mahkamah Jasin pada jam 9.25 pagi dengan diiringi anggota polis untuk mendapatkan perintah reman.
Perintah reman selama tujuh hari bermula Selasa depan dikeluarkan oleh Majistret Mazana Sinin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.
Suspek ditahan pihak polis di Jalan Jasin Bestari, di sini, pada jam 11 malam, Isnin.
Media pada Isnin melaporkan tiga suspek berusia 21, 22 dan 31 tahun direman sehingga 1 September ini di bawah seksyen sama.
Polis turut membuka tiga lagi kertas siasatan bagi kesalahan ugutan, merusuh dan khianat terhadap kenderaan mengikut Seksyen 506, Seksyen 148 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi berkata, polis masih memburu beberapa lagi suspek yang masih bebas.
Menurutnya, setakat ini empat suspek yang telah direman berusia antara 20 hingga 35 tahun dan tangkapan terhadap mereka dibuat sekitar daerah Jasin.
Katanya, polis masih menjalankan siasatan sama ada tangkapan berkaitan kongsi gelap atau pun sebaliknya.
"Siasatan awal polis mendapati punca dan motif kejadian adalah akibat perselisihan faham yang berlaku sebelum ini.
"Kita masih memburu lagi suspek yang masih bebas dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh berhubung dengan pegawai penyiasat di talian 016-5209501 atau 06-529 2222 sambungan 206," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!