PN jangka balas draf MoU sebelum sidang Parlimen Oktober
GUA MUSANG - Perikatan Nasional (PN) dijangka membalas draf memorandum persefahaman (MoU) membabitkan peruntukan ahli Parlimen pembangkang sebelum persidangan Parlimen Oktober depan.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, mereka sedang mengadakan perbincangan secara terperinci berhubung perkara yang perlu dikemukakan itu.
Hamzah memberitahu, satu jawatankuasa diwujudkan untuk memikirkan secara terperinci semua maklumat yang akan dikemukakan.
“Kita sedang merangka semua maklum balas dan akan dihantar sebelum bermula sidang Parlimen Oktober depan,” katanya ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Gua Musang pada Selasa.
Hamzah antara pemimpin pembangkang yang menghadiri pendakwaan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menghadpai pertuduhan menghasut ketika memberi ceramah di Felda Perasu di sini pada 14 Ogos lalu.
Media sebelum ini melaporkan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan kerajaan masih belum menerima maklum balas daripada pembangkang berhubung MoU membabitkan peruntukan untuk ahli Parlimen pembangkang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!