JPJ jadi jabatan terawal gerakkan program Santuni Madani

Aedy Fadly (tiga dari kanan) membantu penduduk memakai topi keledar baharu pada Program Santuni Madani di Kampung Alor Senjaya pada Selasa.
Aedy Fadly (tiga dari kanan) membantu penduduk memakai topi keledar baharu pada Program Santuni Madani di Kampung Alor Senjaya pada Selasa.
A
A
A

ALOR SETAR - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi meningkatkan potensi penduduk kampung dan keupayaan masyarakat dengan menjadi jabatan terawal menggerakkan Program Santuni Madani JPJ.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, JPJ telah menggerakkan Program Santuni Madani JPJ pertama dalam usaha memperkasakan sosioekonomi penduduk menerusi peningkatan advokasi keselamatan jalan raya dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata, pihaknya telah memilih Kampung Alor Senjaya sebagai lokasi pertama program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni Madani) di bawah JPJ di Kedah.

"Kita akan laksanakan program-program secara berterusan di kampung ini untuk kita libatkan dan memberi kesedaran kepada penduduk Kampung Alor Senjaya serta kampung-kampung berdekatan tentang keselamatan dan lain-lain inisiatif JPJ.

"Fokus utama pengisian program adalah selari dengan peranan jabatan ini untuk pembudayaan berkaitan peraturan-peraturan dan advokasi keselamatan jalan raya ke arah mencapai sasaran pengurangan statistik kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya sekurang-kurangnya 50 peratus menjelang tahun 2030,"katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni Madani) di Kampung Alor Senjaya dekat sini pada Selasa.

Sehubungan itu, Aedy Fadly berkata, JPJ menyediakan pelbagai aktiviti khusus keselamatan jalan raya menerusi program itu antaranya pemeriksaan motosikal, pertukaran topi keledar, perkhidmatan kaunter bergerak JPJ Mobile dan pemeriksaan kesihatan.

Beliau menambah, pelbagai pengisian program lain turut dilaksana dengan kerjasama jabatan dan agensi berkaitan selari dengan keperluan komuniti kampung tersebut.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, program itu melibatkan kerjasama strategik dengan Pejabat Pembangunan Negeri Kedah (ICU Negeri Kedah), Jabatan Penerangan Negeri Kedah, Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) dan Komuniti Kampung Alor Senjaya.

Aedy Fadly memaklumkan, JPJ akan memastikan penyampaian perkhidmatan terbaik dan cekap demi menjamin kesejahteraan kepada rakyat selaras dengan Aspirasi Malaysia Madani.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!