'Perjanjian abad ini' tak adil kepada Palestin: Pejabat PM
KUALA LUMPUR - Perjanjian damai yang dicadangkan untuk Israel dan Palestin yang diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada hari Selasa jelas tidak adil kepada rakyat Palestin dan hanya akan mengekalkan ketidakadilan yang mereka alami sejak sekian lama, kata Pejabat Perdana Menteri.
Dalam satu kenyataan hari ini, ia berkata, apa yang disebut 'perjanjian abad ini' adalah sangat berat sebelah cuba untuk menghadiahkan Israel sebagai penjajah atas kesengsaraan Palestin dan rakyatnya yang ditindas.
"Malaysia mendapati cadangan itu tidak boleh diterima dan percaya rakyat Palestin mempunyai hak untuk menolaknya," katanya.
“Ia menegaskan bahawa Palestin pihak yang berduka dan menghadapi pendudukan haram Israel yang berpanjangan tidak pernah dilibatkan secara langsung atau dirundingkan dalam perumusan cadangan itu.
Dalam hal ini, Pejabat PM berkata, Malaysia tetap pada pendiriannya bahawa pembentukan negara Palestin yang merdeka melalui penyelesaian dua negara berdasarkan sempadan sebelum tahun 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota Palestin, adalah satu-satunya penyelesaian yang berdaya maju kepada konflik Palestin-Israel.
"Malaysia akan terus menyokong usaha konkrit dan jujur untuk mencari penyelesaian yang adil dan berkekalan terhadap konflik Israel-Palestin berdasarkan undang-undang antarabangsa dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang relevan melalui perundingan yang melibatkan pihak yang berkenaan," katanya. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: Palestin bukan untuk 'dijual'
Gabungan 34 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia hari ini menyuarakan kebimbangan terhadap masa depan rakyat Palestin ekoran pengumuman Pelan Damai Timur Tengah oleh Presiden Donald Trump pada Selasa.
Sambil menyuarakan sokongan terhadap Palestin, kumpulan itu menggesa usaha sederap masyarakat antarabangsa untuk menghentikan cadangan perjanjian itu yang dikenali 'Perjanjian Abad Ini' daripada terlaksana.
"Kami menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya mengadakan mesyuarat tergempar atau memanggil Majlis Keselamatan bersidang bagi meluluskan ketetapan mengutuk pelan melampau yang mengejutkan itu.
"Kerajaan Malaysia seharusnya mendesak PBB memanggil sidang tergempar ini secepat mungkin bagi menolak perjanjian berkenaan," kata Presiden Majlis Perunding Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid, bagi pihak gabungan itu pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Kumpulan itu turut menggesa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Liga Arab, Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan forum antarabangsa lain bersidang dan meluluskan deklarasi menolak pelan berkenaan tanpa syarat.
Gabungan itu berkata, perjanjian tersebut adalah pencabulan melampau terhadap hak rakyat Palestin dan tidak menghiraukan semua perjanjian sebelum ini, yang diasaskan dengan penyelesaian dua negara, selain seolah-olah meremehkan tuntutan Palestin untuk sebuah negara berasaskan sempadan sebelum 1967.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!