Pergaduhan selesai secara baik, video tular dipadam

Klip video mengenai insiden pertengkaran yang dimuatnaik di media sosial telah dipadam.
Klip video mengenai insiden pertengkaran yang dimuatnaik di media sosial telah dipadam.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Insiden pergaduhan antara seorang lelaki dengan pemandu bas kilang di persimpangan lampu isyarat Kampung Juru, Bukit Tengah dekat sini telah diselesaikan secara baik.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, kejadian itu berlaku pada jam 6.30 petang, Isnin.

Mengulas mengenai kejadian tersebut, Helmi berkata, seorang lelaki warga tempatan yang memandu kereta telah keluar dari simpang lampu isyarat lalu menghalang laluan sebuah bas kilang.

"Susulan daripada itu, pemandu bas telah membunyikan hon panjang susulan tindakan pemandu kereta terbabit. Akibat daripada itu, berlaku pertengkaran di antara kedua-dua lelaki terbabit kerana salah faham.

"Siasatan mendapati, pemandu kereta mendakwa dia mahu keluar dari simpang tersebut namun dihalang oleh bas kilang yang datang dari arah sama. Pemandu bas kemudiannya membunyikan hon menyebabkan berlaku pertengkaran," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Helmi menambah, kejadian itu telah direkod dan ditularkan di media sosial, namun ia telah dipadam oleh pemilik video.

"Pada jam 8.10 pagi tadi, terkesan satu klip video mengenai kejadian itu yang dimuat naik oleh seorang pemilik akaun Facebook (FB).

"Bagaimanapun ia telah dipadam selepas kedua-dua pihak yang terlibat sudah menyelesaikan kes itu secara damai dan pengadu juga tidak mahu siasatan diteruskan,” katanya.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!