[VIDEO] Jalur Gemilang gergasi jadi inspirasi murid
JOHOR BAHRU - Bendera gergasi Jalur Gemilang yang berkibar megah di SK Taman Pelangi Indah, diharap menjadi inspirasi kepada warga sekolah terutamanya murid-murid untuk terus menghormati bendera berkenaan.
Menurut guru Besar SK Taman Pelangi Indah, A. Kumaran, penyediaan bendera berikutan 20x10 meter itu telah dirancang sejak sekian lama namun hanya mulai awal Julai lalu kerja-kerja persiapannya dilaksanakan.
"Bendera yang kita hasilkan ini mengambil masa dalam tempoh sebulan, iaitu dari 9 Julai hingga 8 Ogos 2024.
"Semua warga sekolah, seperti kakitangan sekolah, guru, kakitangan bukan akademik, serta murid-murid terlibat bagi menjayakan projek berkenaan.
"Sebenarnya banyak proses yang diperlukan bagi mewujudkan bendera gergasi tersebut... bermula proses mendapatkan kain, potong, jahit dan semua ukuran dan corak kena ikut specs yang telah ditetapkan," katanya kepada Sinar Harian.
Untuk rekod bendera gergasi itu terhasil daripada 332 meter meter kain, dengan ukuran 20 hingga10 meter.
Selama tempoh penghasilannya, kesemua pihak telah memanfaatkan masa 23 hari bekerja bagi bergotong-royong menyiapkan bendera tersebut.
Sementara itu, Kunaran berkata, berdasarkan maklum balas yang diterima mengenai penghasilan bendera gergasi Jalur Gemilang itu, pihaknya juga merancang penghasilan bendera negeri Johor pada masa akan datang.
Katanya, secara tidak langsung ia juga akan mewujudkan rasa hormat dalam kalangan murid-murid.
"Kita juga sebenarnya turut bercadang untuk menaikkan bendera Johor, di sini pada masa akan datang.
"Mungkin lokasi ya bukan di dalam sekolah, tetapi di luar sekolah pula," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!