Siasatan, pertuduhan isu 3R ke atas Muhyiddin ikut prosedur, tidak tergesa-gesa - KPN

Razarudin
Razarudin
A
A
A

KUALA KRAI - [DIKEMAS KINI] Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain hari ini menafikan dakwaan siasatan dan pendakwaan ke atas Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung ucapan bekas Perdana Menteri itu yang dikatakan menyentuh isu kaum, agama dan raja (3R), dilakukan dengan tergesa-gesa.

Beliau berkata, prosedur biasa bagi polis untuk menyelesaikan setiap siasatan berkaitan kes 3R adalah dalam tempoh seminggu.

"Polis sebelum ini telah menyatakan bahawa segala siasatan 3R kita akan buat dalam masa tujuh hari.

"Kita akan tunjukkan prestasi siasatan 3R dalam tempoh berkenaan, maka tidak ada kena mengena dengan isu tergesa-gesa,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran Kampung Angkat Madani di Kampung Jenal, Dabong, Kuala Krai hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang mengatakan bahawa siasatan polis ke atas Muhyiddin berhubungan ucapan Pengerusi PN itu semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri baru-baru ini, telah dilakukan secara tergesa-gesa, selain menimbulkan banyak persoalan.

Razarudin memberi contoh sekiranya Muhyiddin disiasat hari ini dan pihak pendakwaan membuat pertuduhan ke atasnya di mahkamah pada keesokannya - itu baru dikatakan tergesa-gesa.

"Mungkin siasatan berkenaan dijalankan dalam tempoh empat hari dan kita hantar kertas siasatan kepada AGC (Jabatan Peguam Negara) untuk tindakan selanjutnya dan mungkin AGC ambil masa sehari dua atau tempoh 24 jam sahaja untuk pertuduhan,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan polis telah menyerahkan kertas siasatan berhubung ucapan Ahli Parlimen Pagoh itu kepada AGC pada 21 Ogos lepas untuk tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Muhyiddin hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Gua Musang, Kelantan atas pertuduhan menyebut perkataan menghasut semasa kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Nenggiri baru-baru ini yang didakwa menyentuh kewibawaan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Sementara itu diminta mengulas mengenai laporan polis yang diterima berhubung isu 3R, Razarudin berkata, 178 laporan berkaitan isu itu diterima sejak Mac 2023 hingga kini.

Beliau berkata, semua laporan berkenaan dalam tindakan Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman sebelum dihantar kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tindakan selanjutnya.

"Ada kes 3R yang telah selesai pertuduhan dan ada juga yang sedang dalam siasatan," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!