Inisiatif 'fast 8'akan diperluaskan - Mohammad Fakhruddin
KUANTAN - Kerajaan Pahang memperluaskan inisiatif 'fast 8' atau laluan segera kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) lain di negeri ini bagi mempercepatkan kelulusan permit pelaburan daripada 24 bulan kepada lapan bulan.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, inisiatif itu sudah diperkenalkan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK).
Menurutnya, bagi tujuan itu, kerjasama PLANMalaysia Pahang dilakukan bagi menganjurkan klinik perancangan 'Ease of Doing Business' kepada semua pihak berkaitan.
"Klinik perancangan ini adalah satu inisiatif penting untuk memastikan semua pihak terlibat dalam proses kebenaran merancang benar-benar memahami dengan jelas prosedur dan syarat yang ditetapkan.
"Jadi, sudah tentu kita harapkan semua pemaju, pemegang taruh dan pelabur dapat manfaat daripada klinik yang diadakan hari ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas merasmikan Klinik Perancangan 'Ease of Doing Business' Peringkat Negeri Pahang di sebuah hotel di Tanjung Lumpur pada Selasa.
Klinik Perancangan itu dihadiri kira-kira 200 peserta dengan enam kertas kerja dibentangkan dalam sesi yang bermula jam 8 pagi itu.
Dalam pada itu, Mohammad Fakhruddin berkata, prosedur kebenaran merancang bukan suatu perkara yang boleh dipandang remeh dan ia satu proses penting untuk memastikan setiap pembangunan dijalankan di Pahang selaras dengan pelan pembangunan ditetapkan oleh PBT.
Jelasnya, semua pemilik dan penggerak projek, perunding profesional perlu mengetahui serta memahami prosedur lain yang diambil kira di dalam sesuatu pembangunan seperti keperluan penyediaan laporan penilaian Alam sekitar (EIA), laporan penilaian Impak lalu lintas (TIA) dan laporan penilaian impak sosial (SIA).
Justeru, beliau berharap lebih ramai pihak dapat menyertai klinik seumpama itu pada masa akan datang.
'Ini bagi mendidik pemaju dan pemegang taruh berkaitan undang-undang yang mereka perlu patuhi sebelum memulakan kerja pembinaan atau kerja berkaitan di Pahang.
"Kalau nak kata wajib itu, macam 'keras' sangatlah... tapi, kalau boleh semua yang terbabit dalam projek pembangunan di Pahang dapat memahami apa yang dihasratkan kerajaan negeri," jelasnya.
Mohammad Fakhruddin berkata, setiap permohonan bagi kebenaran merancang sudah boleh dilakukan secara dalam talian menggunakan sistem 'Self-Regulated' atau eSR-Kebenaran Merancang.
Katanya, melalui sistem itu, pemohon perlu menyertakan laporan kajian impak alam sekitar, kajian impak sosial dan lain-lain perkara seperti diperlukan pihak berkuasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!