Koleksi surat Sultan Abdul Hamid: Satu-satunya rekod bertulis Kesultanan Melayu
ALOR SETAR - Koleksi Surat-menyurat Sultan Kedah ke-26, Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah dari tahun 1882 hingga 1943 adalah bukti tunggal rekod bertulis mengenai Kesultanan Melayu yang masih dipelihara.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, koleksi tersebut telah diwartakan sebagai warisan dunia ‘Memory of the World Register’ pada September 2001 oleh United Nation Educational, Scientific and Culture Organization (UNESCO).
Menurutnya, pengiktirafan ini juga disebabkan keunikan koleksi surat-menyurat ini sebagai satu-satunya bukti rekod bertulis yang ada berkaitan Kesultanan Melayu semasa zaman pemerintahan kerajaan asing.
“Koleksi ini banyak mengandungi maklumat penting dan gambaran yang jelas mengenai sejarah negeri Kedah sewaktu peralihan kuasa Siam dan kemasukan British dalam pentadbiran negeri Kedah.
“Pemilihan Koleksi surat-menyurat Sultan Abdul Hamid sebagai warisan dunia dipengaruhi oleh keistimewaannya sebagai satu-satunya kumpulan surat-menyurat manuskrip Melayu yang begitu bernilai dan tersusun jika dibandingkan dengan koleksi manuskrip surat-menyurat kerajaan lain di Gugusan Kepulauan Melayu silam,” katanya pada Selasa.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Seminar Pengiktirafan Warisan Dunia: Koleksi Surat-Menyurat Sultan Abdul Hamid (1882-1943) di sebuah hotel di sini.
Jelasnya, kepimpinan almarhum baginda yang memerintah negeri Kedah selama 61 tahun boleh dicontohi oleh pentadbiran di peringkat jabatan mahupun persekutuan.
Menurutnya, kajian dan penyelidikan yang lebih lanjut ke atas surat-menyurat ini boleh memberikan impak yang sangat bermanfaat kepada masyarakat dan negara.
“Ia boleh memberikan semangat dan motivasi untuk kita mencontohi pentadbiran dan kepimpinan baginda mengurus tadbir negeri Kedah untuk diaplikasikan dalam urusan pentadbiran dan tatakelola sama ada di peringkat jabatan mahupun persekutuan,” ujarnya.
Tambahnya, generasi muda diingatkan agar tidak melihat kepentingan sejarah sekadar bermusim sahaja seperti menjelang tarikh tertentu seperti Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.
Menurutnya, seharusnya kemajuan sains dan teknologi yang melingkari kehidupan masyarakat tidak melekakan untuk terus mempelajari dan mendalami sejarah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!