Syahir Rosdi terima pingat PJK

Syahir selepas menerima pingat PJK sempena Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka Tahun 2024.
Syahir selepas menerima pingat PJK sempena Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka Tahun 2024.
A
A
A

PENGANUGERAHAN Pingat Jasa Kebaktian (PJK) disifatkan satu pengiktirafan kepada atlet, juga bukti sokongan berterusan kerajaan negeri kepada golongan itu dalam mengharumkan nama negeri dan negara.

Tekong utama sepak takraw negara, Syahir Rosdi menegaskan penganugerahan itu juga menjadi pembakar semangat untuk dia beraksi lebih cemerlang pada masa depan.

“Penganugerahan ini secara tidak langsung juga satu cabaran buat saya mempamerkan kesungguhan dan komitmen dalam meningkatkan prestasi.

“Saya bersyukur apabila dapat membantu Melaka menjuarai Piala Khir Johari pada 2024. Pingat yang saya terima ini saya anggap penganugerahan kepada semua pemain yang mengharumkan negeri.

“Biarpun kontrak saya bersama Melaka berakhir Jun lalu, jika ada rezeki saya akan kembali membarisi pasukan Hang Tuah pada masa depan,” katanya.

Syahir menerima PJK daripada Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam sempena Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka Tahun 2024.

Pada Januari lalu, Melaka mengakhiri kemarau hampir 40 tahun untuk merangkul kejuaraan Piala Emas Khir Johari apabila mengatasi Pulau Pinang, 2-1 dalam perlawanan akhir di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar.

Dalam edisi ke-57 kejohanan sepak takraw tertua itu, Melaka diperkuatkan enam pemain kebangsaan dengan Regu A Melaka dibarisi trio kebangsaan, Syahir (tekong), Mohd Khairul Zaman Hamir Akhbar (apit kanan) dan Mohd Muqlis Borhan (apit kiri).

Artikel Berkaitan:

Regu B Melaka pula terdiri daripada Shakir Jamal (tekong), Arif Daniel Arifin (apit kanan) dan Raqib Effendi (apit kiri) manakala Regu C, Muhammad Zarif Marican Ibrahim Marican (tekong), Mohamad Azlan Alias (apit kanan) dan Muhammad Zaim Razali (apit kiri).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!