Tanah jerlus: Botol ambil masa empat jam sampai ke loji Pantai Dalam

Razarudin
Razarudin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelbagai kaedah pencarian digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa kejadian tanah jerlus di Masjid India, di sini, pada Selasa.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pasukan SAR yang terlibat berkemungkinan mencari solusi dan kaedah lain dalam melaksanakan pencarian mereka.

"Selepas pelbagai kaedah pencarian digunakan seperti teknik 'flushing', 'jetter' dan peranti canggih, Ground Penetrating Radar (GPR).

"Kini kaedah lain sedang diperhalusi dalam usaha mencari dan menyelamat mangsa," katanya pada sidang akhbar selepas meninjau operasi SAR di lokasi kejadian, pada Selasa.

Razarudin berkata, operasi SAR masih diteruskan sehingga kini dan pasukan penyelamat masih berbincang usaha-usaha lain yang bakal dilakukan.

"Perkara ini adalah membabitkan isu teknikal dan saya yakin pihak pasukan SAR mempunyai kepakaran dalam perancangan mereka selanjutnya," katanya.

Beliau berkata, antara usaha yang sudah dilakukan adalah meletakkan botol dalam lurang kumbahan (lokasi kejadian).

"Kita meneliti berapa lama tempoh masa diambil untuk botol berkenaan sampai ke loji Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) di Pantai Dalam, di sini.

Artikel Berkaitan:

"Botol berkenaan sampai di loji berkenaan yang dianggarkan sejauh 5.3 kilometer (km) sehingga 6 km, kira-kira empat jam," ujarnya.

Razarudin berkata, dengan jumlah kapasiti penggunaan air amat tinggi pada waktu puncak berbanding pada waktu malam turut menyukarkan kerja-kerja pasukan SAR dalam lurang kumbahan.

"Semua pasukan penyelamat terdiri daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), IWK, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Agensi Nuklear Malaysia, berganding bahu bersama-sama mencari kaedah dalam melaksanakan operasi SAR ini.

"Kita doakan supaya pencarian dapat dibuat dalam masa singkat," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Razarudin turut mengingatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan dakwaan pihak tidak bertanggungjawab dalam media sosial yang menyatakan kawasan Masjid India tidak selamat.

Pada Jumaat, seorang wanita warga India berusia 48 tahun dikenali Vijayaletchumy dilaporkan hilang selepas menjadi mangsa tanah jerlus sedalam kira-kira lapan meter di Jalan Masjid India, di sini.

Laporan kejadian itu diterima Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur pada jam 8.22 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa dan BBP Hang Tuah dikejarkan ke lokasi kejadian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!