Stesen minyak diserbu KPDN, jual diesel lebih 2 sen

Pegawai KPDN memeriksa pam minyak diesel yang didapati menjual melebihi 2 sen daripada harga ditetapkan kerajaan. Foto KPDN Perak
Pegawai KPDN memeriksa pam minyak diesel yang didapati menjual melebihi 2 sen daripada harga ditetapkan kerajaan. Foto KPDN Perak
A
A
A

PARIT BUNTAR - Sebuah stesen minyak dikenakan tindakan selepas disyaki menjual minyak diesel melebihi harga kawalan dalam serbuan di Sungai Bakau di sini pada Isnin.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan pada jam 4.49 petang itu dilakukan penguat kuasa KPDN cawangan Parit Buntar setelah menerima aduan daripada orang awam berhubung perkara tersebut.

"Pemeriksaan mendapati harga minyak diesel yang dipaparkan untuk jualan adalah sebanyak RM3.25 seliter, melebihi 2 sen dari harga ditetapkan oleh kerajaan iaitu RM3.23 seliter.

Sebuah stesen minyak di Parit Buntar diserbu selepas menerima aduan menjual minyak diesel melebihi harga kawalan. Foto KPDN Perak
Sebuah stesen minyak di Parit Buntar diserbu selepas menerima aduan menjual minyak diesel melebihi harga kawalan. Foto KPDN Perak

"Satu tindakan kes telah diambil terhadap pemilik stesen dibawah kesalahan Peraturan 21 (1), Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu telah melanggar syarat lesen runcit dengan menaikkan harga barang kawalan berjadual diesel tanpa kelulusan Pengawal Bekalan Malaysia," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Menurut beliau, siasatan lanjut mendapati, stesen berkenaan mempunyai lesen runcit yang masih sah sehingga 21 Februari 2029.

"Berikutan penemuan tersebut, satu arahan pengistiharan stok di bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 telah diberikan kepada penyelia premis.

"Sebanyak 2,100 liter minyak diesel masih dalam stok simpanan stesen berkenaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kamalludin berkata, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan seseorang selain dari badan korporat boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau tidak melebihi tiga tahun penjara atau kedua-duanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!