Program Perantis Northport perkasa tenaga kerja tempatan
NORTHPORT (Malaysia) Bhd (Northport) yang juga ahli Kumpulan MMC Corporation Berhad (MMC) melancarkan Program Perantis Northport sebagai satu inisiatif bagi meningkatkan pembangunan bakat dan pemerkasaan tenaga kerja tempatan dalam komuniti.
Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd Yusof berkata, ia membangunkan bakat tempatan dan melengkapkan mereka dengan pengetahuan serta kemahiran yang diperlukan.
Menurutnya, inisiatif tersebut bagi membina kerja sebagai pemandu 'prime mover' dan rakan kongsi strategik dalam industri pelabuhan serta logistik.
“Bersama rakan-rakan perniagaan strategik, kami memulakan inisiatif ini bagi membantu memenuhi permintaan industri.
“Ia menangani ketidaksepadanan dalam pasaran kerja industri pelabuhan dan logistik serta mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh asing,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Pelancaran program berkenaan dirasmikan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong bersempena Program Latihan dan Profesionalisme Industri Pelabuhan dan Haulier Peringkat Kebangsaan.
Azman Shah memaklumkan Program Perantis Northport itu berjaya menarik seramai 50 peserta yang terdiri daripada komuniti Pelabuhan Klang dengan menawarkan kurikulum komprehensif.
Katanya lagi, ia membantu kerajaan dalam mencapai objektif sosioekonomi sambil menyokong inisiatif Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Ia juga memastikan bahawa setiap peserta memperoleh kemahiran khusus industri yang menjadikan mereka tenaga kerja 'industry-ready' dan meletakkan mereka pada laluan kerjaya sebagai pekerja operasi mahir.
“Kami percaya bahawa pelaburan dalam kemahiran dan potensi tenaga kerja tempatan bukan semata-mata tentang mengisi peranan pekerjaan itu sahaja, tetapi ia juga mengenai membina masa depan yang mampan untuk komuniti kami dan memacu pertumbuhan ekonomi,” jelasnya.
Antara rakan strategik adalah syarikat Infinity Logistics & Transport Sdn Bhd, Baiduri Dimensi Sdn Bhd, IT Portlink Sdn Bhd, Nur Ajwa Consultant Sdn Bhd, Edvalue Logistics Sdn Bhd, Asia Manja Sdn Bhd dan Aim Deal Group Sdn Bhd.
Sementara itu, Pengarah Urusan IT Portlink Sdn Bhd, Yeo Peng Leng menzahirkan rasa gembira dan bangga kerana dipilih sebagai salah satu rakan strategik dalam program berkenaan.
Tambah Peng Leng, pihaknya akan terus memainkan peranan dalam menyediakan peluang kepada peserta untuk membina kerja dalam sektor tersebut yang semakin berkembang pesat di negara ini.
“Kami berbangga kerana dipilih sebagai salah satu rakan strategik untuk program ini yang akan dapat membantu kami mengatasi masalah kekurangan pemandu untuk menjalankan operasi harian di terminal,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!