Tanah jerlus: Dr Zaliha nafi tidak turun padang
PUTRAJAYA - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa menafikan dakwaan beliau tidak turun padang ke lokasi wanita warga India yang hilang dalam insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India.
Dr Zaliha berkata, beliau berada di Kuching, Sarawak ketika menerima maklumat berhubung kejadian itu sebelum melawat lokasi kejadian pada Sabtu lepas sejurus pulang ke Kuala Lumpur.
"Saya juga berhubung secara langsung dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur (Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif) untuk mendapatkan input terkini dan juga Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia B.N. Reddy untuk memaklumkan perkembangan berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi libat urus inisiatif Belanjawan 2025 bersama pihak berkepentingan Kuala Lumpur dan Putrajaya di sini hari ini.
Dr Zaliha berkata, dakwaan itu tidak seharusnya timbul selain mengingatkan sebarang isu yang dibangkitkan perlu bersekali dengan fakta.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, yang terjatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter itu memasuki hari kelima hari ini.
Sementara itu, Dr Zaliha berkata, input yang diterima hasil sesi libat urus bersama lebih 200 wakil penduduk, belia dan badan bukan kerajaan hari ini akan menjadi asas perancangan Belanjawan 2025 yang inklusif untuk memenuhi keperluan penduduk di Wilayah Persekutuan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!