SPRM 'masuk', kongres KLFA mungkin tangguh
KONGRES Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) bagi memilih kepimpinan baharu yang dijadual bulan depan mencetuskan teka-teki.
Ia susulan kongres pada 7 September itu mungkin ditangguh bagi memberi laluan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan ke atas semua calon yang bertanding.
Pemangku Presiden KLFA, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, ia merupakan proses biasa bagi mengesan kebarangkalian salah laku dalam kalangan calon.
Beliau berkata, siasatan SPRM itu dijangka mengambil masa sehingga 14 hari selepas kesemua dokumen calon diserahkan kepada pihak berkuasa tersebut pada Isnin.
"Teka-teki itu satu rahmat. Biarkan ia datang, seperti vitamin.
"Siasatan mungkin selesai lebih awal dan kongres akan berjalan seperti tarikh yang ditetapkan atau sebaliknya kongres akan ditangguh," katanya pada sidang media di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada Selasa.
Justeru beliau menjelaskan senarai kesemua calon yang berminat untuk bertanding belum boleh disahkan selepas tarikh pencalonan ditutup Jumaat lalu.
"Setelah selesai siasatan SPRM baru nama calon boleh disahkan dan diumumkan mungkin sebelum tarikh kongres. Bergantung kepada perkembangan siasatan SPRM," katanya.
Abdullah Sani turut menjelaskan mengenai jumlah kelab yang layak untuk mengundi pada kongres tersebut.
"Jumlah kelab sebanyak 35, namun tujuh digantung kerana tidak aktif. Jadi 28 kelab yang layak mengundi," katanya.
Media sebelum ini melaporkan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menawarkan diri untuk bertanding sebagai presiden.
Beliau membariskan pasukannya yang terdiri daripada Pengarah Kuala Lumpur (KL) United Sdn Bhd, Syed Yazid Syed Omar sebagai timbalan presiden KLFA.
Calon bagi jawatan naib presiden pula ialah Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin serta Datuk Mohd Razlan Rafii merangkap Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Turut berada dalam senarai calon ialah bekas pengurus pasukan Kuala Lumpur, Datuk Kamarudin Hassan dan Datuk Ramlan Askolani.
Selain Fahmi, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad turut berminat dengan kerusi panas itu.
Nik Nazmi yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa menamakan beberapa calon untuk mengisi jawatan tertinggi dalam KLFA.
Calon bagi jawatan timbalan presiden bakal diisi oleh Penasihat Setiawangsa Rangers FC, Datuk Azril Mat Drus dan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan.
Empat naib presiden pula terdiri daripada Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya, Pengarah Bebas Saudee Group Bhd, Datuk Sham Shamrat Sen Gupta, Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof dan Pengarah Eksekutif Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Mohamad Hamim.
Abdullah Sani memangku jawatan itu selepas bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad melepaskan jawatan pada Mac lepas.
Pemilihan barisan kepimpinan baharu KLFA pada kongres itu bakal memilih seorang presiden, dua timbalan presiden, empat naib presiden dan 10 ahli jawatankuasa (Exco).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!