Negara kepulauan Pasifik berisiko lenyap
GENEVA - Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) memberi amaran kenaikan paras laut di Lautan Pasifik telah mengatasi purata global, sekali gus membahayakan negara berdataran rendah.
“Purata tahunan untuk tempoh lebih tiga dekad lalu adalah 3.44 milimeter. Data terbaharu menunjukkan purata peningkatan agak tinggi di kawasan pengukuran di Pasifik, utara dan timur Australia,” jelas laporan Keadaan Iklim Serantau 2023 yang dibentangkan pada forum di Tonga.
Lonjakan luar biasa paras laut telah menyebabkan kekerapan kejadian banjir di kawasan pesisir pantai seperti di Kepulauan Cook dan French Polynesia sejak 1980.
“Lebih 34 ribut dan banjir membawa maut dilaporkan di rantau Pasifik pada tahun lalu yang turut meragut lebih 200 nyawa. Hanya satu pertiga daripada negara pulau kecil di perairan itu mempunyai sistem amaran awal.
“Impaknya juga adalah tidak seimbang kerana ketinggian purata negara di kawasan itu kira-kira satu atau dua meter dari paras laut,” jelas laporan itu lagi.
Sementara itu, Setiausaha Agung WMO, Celeste Saulo berkata, aktiviti tidak terkawal manusia telah melemahkan kapasiti lautan dan menjadi ancaman terbesar pada masa depan.
Kebimbangan sama turut disuarakan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres yang menghantar isyarat 'SOS' iklim global, 'selamatkan laut kita' berikutan kesan pemanasan global mula berlaku secara ketara. - AFP
Info
> Laporan terbaharu badan pemantau iklim PBB menunjukkan paras laut telah meningkat kepada kira-kira 15 sentimeter (cm) di beberapa bahagian Pasifik sejak tiga dekad lalu.
> Purata kenaikan tahunan global ialah 9.4cm.
> Saintis memberi amaran, Tuvalu berisiko 'lenyap' dari peta dalam tempoh 30 tahun akan datang.
> Majoriti penduduk di kawasan itu tinggal dalam lingkungan lima kilometer dari pantai.
> Pada 2020, beberapa negara Pasifik termasuk Vanuatu, Papua New Guinea dan Micronesia hilang lebih satu peratus daripada KDNK akibat kenaikan paras laut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!