BFood, pengendali Starbucks Malaysia kerugian RM87.34 juta

BFood, pengendali Starbucks Malaysia alami kerugian RM87.34 juta. Foto hiasan.
BFood, pengendali Starbucks Malaysia alami kerugian RM87.34 juta. Foto hiasan.
A
A
A

SYARIKAT pengendali Starbucks Malaysia, Berjaya Food Berhad (BFood) mengalami kerugian sebelum cukai sebanyak RM87.34 juta bagi tahun kewangan terakhir 30 Jun tahun ini berbanding keuntungan sebelum cukai RM148.73 juta tahun sebelumnya.

BFood dalam satu kenyataan berkata, syarikat tersebut memperoleh pendapatan sebanyak RM730.3 juta berbanding RM1.12 bilion pada tahun kewangan terdahulu.

Menurutnya, bagi suku keempat tahun kewangan yang diselidik, BFood mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM42.69 juta berbanding keuntungan sebelum cukai iaitu RM29.04 juta tahun sebelumnya.

Ujarnya lagi, hasil yang diperoleh bagi suku tahun ini lebih rendah iaitu sebanyak RM130.57 juta berbanding RM271.75 juta pada suku tahun sebelumnya.

“Kerugian sebelum cukai yang ditanggung pada suku semasa disebabkan oleh sentimen konflik di Timur Tengah.

“Penurunan hasil dan kerugian sebelum cukai disebabkan pelupusan kepentingan ekuiti entiti kumpulan dalam Jollibean Foods Sdn Bhd.

“Ia tidak termasuk perbelanjaan luar biasa berkaitan pelaburan dan kerugian sebelum cukai adalah RM76.84 juta berbanding keuntungan sebelum cukai, RM148.73 juta pada tahun kewangan sebelumnya,“ katanya pada Selasa.

Mengulas lanjut, BFood memaklumkan, pihaknya tidak mengesyorkan sebarang dividen untuk suku semasa tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Ia kerana menurutnya, keadaan pasaran semasa agak mencabar dan tekanan luaran menjejaskan prestasi syarikat berkenaan.

“Di sebalik kesukaran ini, kami tetap optimis dan berhati-hati. Kami menjangkakan ia bakal meningkat secara beransur-ansur dalam prestasi operasi sepanjang tahun kewangan akan datang.

“Walaupun mungkin mengambil masa untuk pulih kembali, kami yakin dengan perancangan strategik dan penambahbaikan operasi akan mengukuhkan semula kedudukan syarikat.

“Kami juga percaya pendapatan kewangan syarikat akan beransur pulih dan menjadi lebih baik,“ ujar BFood.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!