'Kenyataan Pengerusi UMNOSiswa tidak matang, bersifat provokasi'
SHAH ALAM - Kenyataan Pengerusi UMNOSiswa, Wan Muhammad Zuhir Ghazali yang mendesak kerajaan supaya mengharamkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dianggap tidak matang, bersifat provokasi dan cuba menunjukkan sisi kurang bijak pemimpin pelapis UMNO.
Ahli Jawatankuasa Biro Mahasiswa Armada Bersatu, Muhammad Khairul Amirin Mohamad Lizam berkata, sebagai individu bergelar mahasiswa, pemimpin muda itu perlu menunjukkan teladan yang baik dan menghargai prinsip demokrasi serta kebebasan bersuara.
Menurutnya, tindakan mengeluarkan kenyataan sedemikian adalah tidak wajar sama sekali meskipun mempunyai perbezaan pandangan politik.
“Mengkritik atau menolak pandangan pihak lawan adalah hak kita, tetapi perlulah disertakan hujah yang rasional dan bukti yang jelas dengan niat untuk memperbaiki, bukan menghukum.
“Dalam era serba terbuka ini, kita perlu menggalakkan dialog yang konstruktif dan mendidik, bukannya menyemai kebencian atau permusuhan.
“Politik matang adalah menghormati perbezaan dan membina atas dasar kepelbagaian pandangan, bukan menghalang suara yang berbeza pendapat,“ katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Wan Muhammad Zuhir mendesak kerajaan mengharamkan Bersatu yang disifatkan sebagai parti derhaka apabila Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa bersikap melampaui batas dengan mengheret institusi diraja dalam ceramah politik.
Jelasnya, kemurkaan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah terhadap Muhyiddin memberi gambaran serius mengenai kewibawaan seorang bekas Perdana Menteri yang sepatutnya menunjukkan tauladan dan rasa hormat kepada institusi raja terutama apabila berucap di khalayak ramai.
Kata pemuda terbabit, Muhyiddin perlu meletakkan jawatan kerana mengeluarkan kenyataan kontra dengan ikrar beliau dan Bersatu yang sebelum ini mahu menjadi benteng dalam menjaga agama, bangsa, negara serta mendaulatkan Raja-Raja Melayu.
Muhammad Khairul Amirin memaklumkan, untuk menjadi mahasiswa yang bagus, golongan berkenaan perlu menjadi penggerak utama dalam mempromosikan wacana sihat dan inklusif.
“Menyebarkan ketakutan dan memburukkan lawan politik merosakkan integriti politik di negara ini. Marilah kita fokus kepada perdebatan yang membina.
“Demokrasi sihat memerlukan persaingan adil, bukan pengharaman atau penindasan terhadap suara yang berbeza.
“Oleh itu, kami menolak keras kenyataan yang menganggap pendekatan politik tertentu sebagai 'ala Machiavelli' tanpa sebarang bukti kukuh,“ ujarnya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!