Seleweng diesel: SPRM tahan pengarah agensi penguat kuasa

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Pengarah sebuah agensi penguatkuasaan di Kuching ditahan kerana dipercayai menerima rasuah daripada sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi di Sibu, Sarawak pada Selasa.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 40-an ditahan ketika hadir untuk memberi keterangan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak kira-kira jam 6.20 petang Selasa.

"Suspek dipercayai menerima suapan daripada sindiket berkenaan sebagai balasan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan dan undang-undang terhadap kegiatan penyeludupan minyak diesel di Sibu.

"Tangkapan ke atas suspek ini adalah susulan serbuan dilakukan Bahagian Operasi Khas SPRM menerusi Op Liter di sebuah depoh simpanan minyak di Sungai Bidut, Sibu pada Ahad lalu," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM 2009.

"Suspek bagaimanapun sudah dilepaskan dengan jaminan SPRM dengan seorang penjamin sementara siasatan lanjut dijalankan," katanya.

Terdahulu media melaporkan, SPRM menahan reman seorang pembantu penguat kuasa agensi sama kerana dipercayai menerima rasuah daripada sindiket penyeludupan minyak diesel itu.

Pada Ahad lalu, lima individu ditahan kerana disyaki terlibat dengan sindiket berkenaan yang dipercayai menyeleweng minyak diesel milik persatuan nelayan serta membayar rasuah kepada penguat kuasa di Sibu sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan penguatkuasaan.

Artikel Berkaitan:

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, tangkapan membabitkan tiga lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 30 hingga 60-an pada jam 4 petang di Pejabat SPRM Cawangan Sibu ketika keterangan mereka diambil.

Azam berkata, dalam Op Liter berkenaan yang disertai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), dua tongkang, beberapa tangki minyak serta 1.6 juta liter diesel selain wang tunai RM3.7 juta disita.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!