Sembilan premis kotor diarah tutup

Keadaan dapur di sebuah kedai makan yang kotor dan diarahkan ditutup selama 14 hari.
Keadaan dapur di sebuah kedai makan yang kotor dan diarahkan ditutup selama 14 hari.
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) pada Isnin mengarahkan sembilan premis yang gagal mematuhi peraturan ditutup selama 14 hari di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, kesemua premis itu dikenakan tindakan berkenaan melalui Operasi Bersepadu oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan.

Menurut beliau, premis yang diperiksa itu didapati kotor serta tidak menyusun makanan serta bekas makanan dengan baik.

"Sebanyak 53 kedai makan dan restoran di sekitar daerah ini diperiksa oleh 65 kakitangan JKNK yang menyertai operasi," katanya melalui kenyataan pada Selasa.

Beliau memberitahu, pemeriksaan kali ini memberi keutamaan kepada premis makanan di sekitar Bandar Kota Bharu dan jalan utama.

Jelas beliau, pemilik premis makanan yang tidak mematuhi perintah penutupan boleh dikenakan penjara selama tempoh tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu kata Dr Zaini, sebanyak 129 notis berkaitan pakaian pengendali makanan dikeluarkan dan 14 notis membabitkan kebersihan diri pengendali makanan.

"Kita turut mengeluarkan empat notis membabitkan kesalahan tidak mendaftarkan premis makanan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, pelbagai aktiviti diadakan bagi memastikan tahap kebersihan dan keselamatan makanan sentiasa dipertingkatkan dari masa ke masa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!