Tanah jerlus: Operasi SAR ditangguh akibat hujan lebat

Operasi SAR di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur ditangguhkan sementara waktu ekoran hujan lebat pada Selasa.
Operasi SAR di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur ditangguhkan sementara waktu ekoran hujan lebat pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan seorang mangsa warga India yang hilang akibat tanah jerlus di Jalan Masjid India di sini ditangguhkan sementara waktu pada malam Selasa.

Jabatan Perancangan Korporat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan berkata, penangguhan itu ekoran hujan lebat di kawasan kejadian sejak jam 7.30 malam.

Kata kenyataan itu, kerja-kerja tersebut akan bersambung pada Rabu, selepas kerja-kerja mencari dan menyelamat diteruskan dengan memfokuskan kerja-kerja pencarian di kawasan titik akhir di loji Indah Water Konsortium (IWK) Pantai Dalam di sini.

"Bagaimanapun, hasil daripada pencarian yang dilakukan pada Selasa adalah negatif.

"Pasukan SAR juga sedang dalam tindakan memecahkan dinding atas 'manhole' di lokasi kejadian untuk mendapatkan jarak penglihatan yang lebih jelas dalam lurang kumbahan itu," kata kenyataan itu pada Selasa.

Tambah kenyataan itu, kerja-kerja pencarian melalui kaedah Ground Penetrating Radar (GPR) dijalankan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) di kawasan sekitar Masjid India digunakan untuk menilai keadaan tanah.

Menurut kenyataan itu, kaedah GPR yang sama oleh Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) digunakan di sekitar kawasan lubang benam.

"Kerja-kerja penilaian oleh JMG bermula dari pintu gerbang Masjid India ke hadapan kawasan masjid dan kerja tinjauan sejauh 65 meter," kata kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Pada kejadian pagi Jumaat, seorang mangsa warga India dikenali sebagai Vijayaletchumy hilang selepas terjatuh di dalam lubang sedalam lapan meter akibat kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India, di sini.

Mangsa yang berada di negara ini bersama keluarganya untuk melancong, dilaporkan sedang berjalan kaki melalui kawasan berkenaan menuju ke sebuah kuil berhampiran sebelum kejadian itu berlaku.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!