KL bakal tenggelam? Ini penjelasan pakar

Insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India.
Insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India.
A
A
A

SHAH ALAM - Berikutan insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India minggu lalu, Pensyarah Kanan Jabatan Geologi, Fakulti Sains Universiti Malaya (UM) iaitu Dr Elanni Md Affandi memberikan ulasan berkaitan geologi, kejadian dan risiko tanah mendap di sekitar Kuala Lumpur.

Beliau yang merupakan pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang geobencana, risiko bencana dan geologi bandar khususnya Kuala Lumpur mendapati lokasi terbabit bukan terletak di kawasan batu kapur atau 'limestone' sepertimana diuar-uarkan oleh media serta beberapa ‘pakar’ geologi baru-baru ini.

Berikut merupakan ulasan penuh yang dimuat naik di platform media sosial Facebook Jabatan Geologi UM.

Susulan kejadian lubang benam atau tanah mendap yang berlaku di Jalan Masjid India, kami mendapati kawasan kejadian (bertanda bintang merah) bukan terletak di kawasan batu kapur (Kuala Lumpur Limestone).

Namun demikian, merujuk kepada peta geologi yang dilampirkan bersama, lokasi kejadian didasari batuan filit, kuarzit dan batu pasir di Formasi Kenny Hill bersebelahan Kuala Lumpur 'limestone'.

Lampiran peta dimuatnaik Jabatan Geologi Universiti Malaya (UM) di Facebook pada Selasa.
Lampiran peta dimuatnaik Jabatan Geologi Universiti Malaya (UM) di Facebook pada Selasa.

Kawasan batu kapur (bahagian biru cair dalam peta) terbentuk daripada batuan kalsium karbonat mudah terhakis atau mengalami proses pelarutan apabila bertindak balas dengan air yang bersifat asid.

Di sinilah terbentuknya fitur-fitur batu kapur seperti gua, jerungkau, lohong, alur perlarutan dan lubang benam atau 'sinkhole'.

Artikel Berkaitan:

Rupa bumi kars adalah formasi geologi yang unik dan kerap terbentuk di batuan mudah larut seperi batu kapur, 'gypsum' serta 'halite' melalui proses 'karstification'. Sebanyak 30 peratus kawasan bawah tanah Kuala Lumpur terdiri daripada batuan, bukan 40-60 peratus seperti ditularkan di media.

Proses ini memakan masa berjuta-juta tahun, namun boleh dipercepatkan oleh faktor pencetus luaran yang alami atau disebabkan aktiviti manusia.

Lubang benam yang dikaitkan dengan kars hanya terjadi di kawasan 'Kuala Lumpur Limestone', namun ia sangat jarang berlaku. Sejak beberapa tahun lepas, banyak insiden lubang benam di Kuala Lumpur di ruang berita namun faktor pencetusnya lebih kepada saluran paip pecah, paras air bawah tanah yang berubah atau kerja-kerja pembinaan.

Keberangkalian untuk lubang benam terjadi di kawasan selain kars seperti di Formasi Kenny Hill adalah rendah kerana memerlukan dua faktor untuk wujud seiring iaitu lapisan tanah terluluhawa nipis dan lohong daripada batu kapur yang terletak di bawahnya.

Mengikut kajian, lapisan yang terluluhawa di atas Formasi Kenny Hill berketebalan maksimum 20 meter (m). Secara saintifiknya, definisi mendapan tanah lebih sesuai digunakan untuk merujuk kepada kesan kemampatan disebabkan kandungan air tinggi atau sebarang pergerakan mahupun gegaran hingga menyebabkan penurunan tanah tersebut.

Menjawab kepada perkongsian sesetengah pihak di media sosial mengolah jurnal artikel penyelidikan kami bahawa kajian mendapati 20 peratus daripada kawasan Kuala Lumpur yang dilabel sebagai Zon A dalam peta 'Development Suitability Zone' membawa maksud 20 peratus itu dianggap sesuai untuk pembangunan pada masa hadapan atau pembangunan semula sesuatu kawasan bagi tujuan lain.

Peratusan ini telah mengambil kira kekangan formasi dari aspek geologi kejuruteraan dan kerentanan terhadap tanah runtuh serta banjir. Ia tidak bermaksud hanya 20 peratus yang selamat untuk didiami manakala selebihnya berisiko tinggi terhadap kejadian lubang benam atau bahaya geologi lain.

Sebaliknya, Zon C (kawasan yang berwarna merah jambu) merangkumi 35 peratus diklasifikasikan sebagai kawasan mempunyai kekangan tinggi dari aspek kejuruteraan geologi yang mungkin memberi masalah kepada pembangunan sedia ada kerana keadaan bawah tanah sukar diramal.

Kawasan ini juga terdedah kepada banjir dan tanah runtuh. Terdapat spekulasi tak berasas di Internet yang mengatakan Kuala Lumpur akan tenggelam atau 'jatuh' ke dalam gua besar dibawahnya. Pembaca perlu menyelidik sesuatu fakta sebelum menyebarkannya tanpa berfikir panjang.

Berdasarkan sejarah, Kuala Lumpur adalah sebahagian Lembah Klang yang merupakan kawasan lombong timah sejak 1850-an.

Disebabkan kedudukan bandar di paras sangat rendah, ia dikenali sebagai dataran 'alluvial' atau dataran banjir, jadi tidak hairan jika banjir kerap berlaku di ibu kota.

Namun, kadar taburan hujan lebih kerap dan keamatan tinggi (akibat perubahan iklim) telah meningkatkan lagi proses yang menyumbang kepada malapetaka geologi seperti tanah runtuh, lubang benam, tanah mendap serta tanah runtuh.

Kita perlu belajar untuk beradaptasi dengan keadaan semasa keran malapetaka geologi adalah sesuatu yang bukan luar biasa lagi.

Ini hanya boleh dicapai melalui usaha bersepadu daripada pihak berkuasa dan kepakaran saintis untuk melaksanakan langkah mitigasi yang komprehensif di kawasan terdedah menggunakan sistem ramalan lanjutan serta melengkapkan masyarakat dengan kesedaran atau kesediaan menyeluruh untuk kejadian luar jangka.

Melihat kepada fakta geologi dan laporan terkini, kami sedia maklum bahawa saluran pembetungan telah pecah hingga arus deras membawa sekali 'fill material' menyebabkan struktur pejalan kaki hilang sokongan.

Namun, ini cuma apa yang kita nampak di lokasi kejadian dan sepertimana dilaporkan di media. Persoalan masih timbul berkenaan keadaan pada kedalaman 10 hingga 20 m atau mungkin ketebalan tanah menghampiri 30m ke bawah?

Ini akan membuktikan kawasan didiami geologi berbeza daripada apa yang dipetakan sebelum ini. Adakah kejadian ini dinamakan tanah jerlus, lubang benam atau sekadar mendapan tanah akibat kegagalan reka bentuk sistem utiliti?

Insiden tanah mendap di tempat yang sama sebelum ini menunjukkan kawasan tersebut berisiko tinggi, namun apa tindakan susulan dibuat pihak berkuasa atau sekadar membaiki di permukaan sahaja?

Kajian dan siasatan menyeluruh membabitkan semua pihak menggunakan bantuan alat geofizik mampu memberikan gambaran jelas mengenai keadaan bawah tanah Kuala Lumpur.

Sudah tiba masanya pihak berkuasa dengan bantuan pelbagai pakar untuk mengkaji risiko bawah tanah dan interaksi bersama sistem utiliti atau infrastruktur yang ‘ditanam’ oleh manusia.

Ancaman terbesar di sesebuah bandar yang membangun bukanlah malapetaka semula jadi, tetapi terhasil daripada tindakan manusia sendiri.

Kehilangan nyawa, kerosakan dan kerugian boleh dikurangkan melalui reka bentuk infrastruktur, pemantauan dan usaha mitigasi yang berkesan.

Melihat kepada fasa pembangunan yang pesat di Kuala Lumpur, informasi geosaintifik perlu dikongsi dan diterapkan dalam pelan pembangunan secara menyeluruh selain mengambil kira faktor antropogenik untuk meningkatkan daya tahan bandar terhadap bencana akibat perubahan iklim atau kerja pembangunan.

Rujukan: Affandi, Elanni; Ng, Tham Fatt; Pereira, Joy Jacqueline (2023). Integration of Geoscience Information for Disaster Resilience in Kuala Lumpur, Malaysia, APPLIED SCIENCES-BASEL. 13(12). doi:10.3390/app13127004

Artikel ini boleh dimuat-turun secara percuma di pautan https://www.mdpi.com/2336214

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!