Lelaki maut dilanggar pacuan empat roda mengundur sendiri

Mangsa maut dipercayai dilanggar pacuan empat roda miliknya yang mengundur sendiri ke belakang ketika sedang menutup pagar kebun di Kampung Pasir Putih, Jeneri pada Selasa.
Mangsa maut dipercayai dilanggar pacuan empat roda miliknya yang mengundur sendiri ke belakang ketika sedang menutup pagar kebun di Kampung Pasir Putih, Jeneri pada Selasa.
A
A
A

SIK - Seorang lelaki ditemukan maut dipercayai dilanggar kenderaan pacuan empat roda miliknya yang mengundur sendiri ke belakang ketika sedang menutup pagar kebun di Kampung Pasir Putih, Jeneri di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintenden Abdull Razak Osman berkata, polis menerima maklumat berkaitan seorang lelaki yang ditemui tidak sedarkan diri bawah pacuan empat roda itu pada jam 4.30 petang.

Menurutnya, ketika kejadian, mangsa, Lim Gok Hong, 59, dipercayai mahu pulang ke rumahnya di Yan.

"Mangsa kemungkinan meletakkan gear dalam keadaan neutral (N) dan menarik brek tangan sedikit sahaja sebelum turun dari kenderaannya untuk menutup pintu pagar kebunnya itu.

"Semasa mangsa menutup pintu pagar, secara tiba-tiba kenderaan itu dipercayai berundur ke belakang dengan sendirinya lalu melanggarnya," katanya.

Tambah beliau, akibat kemalangan itu mangsa terhimpit di bawah kenderaan berdekatan dengan tayar belakang sebelah kanan.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sik untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!