Seluruh jentera parti komponen digerakkan ke DUN Mahkota - Asyraf Wajdi

Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi
A
A
A

SHAH ALAM - Seluruh jentera parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan terutama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) akan digerakkan sepenuhnya ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ia bertujuan untuk memenangi hati dan sokongan rakyat daripada pelbagai kaum serta agama di lokasi berkenaan.

“Menyokong penuh calon BN di Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota, mewakili Kerajaan Perpaduan Malaysia yang bakal dinamakan oleh kepimpinan tertinggi parti itu dalam masa terdekat.

“Seluruh jentera parti-parti komponen akan digerakkan sepenuhnya bagi memenangi hati dan sokongan pengundi di DUN Mahkota daripada pelbagai kaum dan agama,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Selasa.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan Malaysia yang berlangsung di Seri Perdana, Putrajaya.

PRK Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, yang meninggal dunia pada 2 Ogos ketika dirawat di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September.

Tambah Asyraf, mesyuarat tersebut memperakui struktur jentera kerajaan bagi menghadapi PRK Mahkota dengan melantik Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai Pengarah PRK dan Aminolhuda Hassan selaku Penyelaras Jentera PH.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut memaklumkan mesyuarat berkenaan memandang serius isu 3R (kaum, agama dan raja) dan mempertahankan kedaulatan serta kedudukan Raja-Raja Melayu seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Mesyuarat turut memandang serius isu-isu mengenai 3R dan menegaskan akan menumpahkan taat setia kepada kedudukan Raja-Raja Melayu,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!