Lesen media sosial beri kelebihan
PELESENAN perkhidmatan media sosial yang akan berkuat kuasa pada 1 Januari tahun hadapan membawa pelbagai kelebihan dalam memastikan keselamatan dan tanggungjawab di platform digital.
Bagaimanapun, tindakan tersebut akan menghadapi cabaran dari segi kos, kebebasan bersuara dan inovasi.
Pelaksanaan tersebut memerlukan pendekatan yang seimbang bagi memastikan peraturan yang dikenakan dapat melindungi pengguna tanpa menghalang perkembangan teknologi.
Oleh itu, pihak berkuasa memainkan peranan penting untuk merancang dan melaksanakan peraturan dengan teliti sekali gus mengambil kira kepentingan semua pihak yang terlibat.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memaklumkan semua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta588).
Katanya, kegagalan memperoleh lesen selepas tarikh kuat kuasa itu adalah satu kesalahan dan tindakan perundangan sewajarnya boleh diambil di bawah Akta 588.
SKMM pada Selasa juga memaklumkan akan menjalankan siasatan awam mengenai langkah pelesenan yang dirancang bagi media sosial dan rangka kerja penyedia perkhidmatan pesanan internet.
Siasatan tersebut dijalankan bagi memastikan rangka kerja akhir adalah adil, berkesan dan mencerminkan keperluan kedua-dua pihak industri dan orang ramai.
Justeru, kerajaan mungkin menawarkan kelebihan seperti keselamatan pengguna terjamin yang membolehkan pihak berkuasa menetapkan peraturan mengenai jenis kandungan diterbitkan di platform media sosial.
Tindakan tersebut mampu mengurangkan penyebaran kandungan berbahaya seperti berita palsu, pornografi, keganasan atau buli siber.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!