Mula rancang pengurusan kewangan dari sekarang

Nor Fazlina
Nor Fazlina
A
A
A

SHAH ALAM - Kaum wanita dinasihatkan supaya memulakan tabiat merancang atau mempelajari teknik pengurusan kewangan dari sekarang sebagai persediaan awal jika berlaku sebarang kecemasan.

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Trustees Berhad, Nor Fazlina Mohd Ghouse berkata, ilmu tentang pengurusan kewangan sebelum atau selepas bersara, wasiat, pencairan aset dan harta pusaka juga penting kerana ia akan memudahkan urusan ahli keluarga terdekat di kemudian hari.

Menurutnya, walaupun memiliki wang yang banyak, ia tidak memberi jaminan bahawa seseorang itu pandai menguruskan perihal kewangan sendiri.

Selebriti tempatan, Dynas Mokhtar, Syada Amzah dan Kayda Aziz turut hadir bagi memeriahkan program. Foto Sinar Harian - ASRIL ASWANDI SHUKOR
Selebriti tempatan, Dynas Mokhtar, Syada Amzah dan Kayda Aziz turut hadir bagi memeriahkan program. Foto Sinar Harian - ASRIL ASWANDI SHUKOR

“Pada pendapat saya, wanita kena bijak membuat perancangan bermula dari sekarang, kalau berlaku apa-apa pada diri sendiri, macam mana?

“Bagaimana nak uruskan duit? Adakah kita boleh jangka ahli keluarga lakukan dengan baik? Contohnya wasiat, ia seperti sistem penentu kedudukan global (GPS).

“Katakanlah kita hilang arah, macam mana ahli keluarga nak cari jalan keluar apabila kita sendiri tak tahu atau tak ada GPS. Jadi, penting untuk ada wasiat dan instrumen kewangan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika program bual bicara, She Leads bertajuk ‘Don’t Go Broke In Your Golden Years’ bertempat di Auditorium Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Nor Fazlina (dua dari kiri) ketika program bual bicara, She Leads di Auditorium Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Selasa. Foto Sinar Harian - ASRIL ASWANDI SHUKOR
Nor Fazlina (dua dari kiri) ketika program bual bicara, She Leads di Auditorium Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Selasa. Foto Sinar Harian - ASRIL ASWANDI SHUKOR

Hadir sama, Ketua Pegawai Strategi dan Polisi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Balqais Yusoff; Perancang Kewangan, Erin Adlina Adnan serta hos program berkenaan iaitu Jessy Chahal.

Nor Fazlina memaklumkan, pihaknya amat menekankan pengetahuan tentang wasiat terhadap kaum Hawa memandangkan wanita zaman kini mempunyai aset dan liabiliti masing-masing.

“Kita selalu fikir bila dah ada faraid, kenapa perlu ada wasiat? Ketika hidup, hanya kita uruskan aset dan liabiliti tapi selepas mati, siapa yang akan uruskannya?

“Bukan itu sahaja, siapa akan jagakan anak-anak? Jadi, lantik seseorang yang paling dipercayai untuk menguruskan segala perihal kewangan anda supaya lebih mudah nanti.

“Justeru, perancangan amat penting. Di Maybank Trustees, kami bantu untuk uruskan aset dan wang anda,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!