'Ada hari satu sen pun tak dapat' - Pengayuh beca hampir putus asa

Abdullah (kiri) dan Mamat ketika menunggu pelanggan di Pasar Payang, Kuala Terengganu. Gambar kecil dari kiri: Abdul Wahab, Mohd Nasir, AbdullahMamat,
Abdullah (kiri) dan Mamat ketika menunggu pelanggan di Pasar Payang, Kuala Terengganu. Gambar kecil dari kiri: Abdul Wahab, Mohd Nasir, AbdullahMamat,
A
A
A

GOLONGAN pengayuh beca yang masih menjadikan pengangkutan tradisional itu sebagai sumber pendapatan mengakui hampir putus asa kerana sukar untuk mendapatkan pelanggan.

Kebanyakan mereka yang terdiri daripada warga emas juga mendakwa, sudah tidak menerima insentif bulanan sebanyak RM200 oleh kerajaan negeri sebagai sumbangan dan galakan untuk meneruskan elemen warisan pelancongan tersebut.

Apa Khabar Rakyat kali ini menyingkap luahan hati pengayuh beca di Pasar Payang yang masih aktif membawa pelanggan menaiki pengangkutan itu untuk ke sekitar pusat bandar Kuala Terengganu.

Menurut Abdul Wahab Abdul Rahman, 78, dia masih menjalankan rutin membawa beca walaupun ada hari-hari tertentu tiada seorang pun penumpang yang menaiki pengangkutan tersebut.

“Disebabkan kurang sambutan, biasanya saya akan sampai ke Pasar Payang dalam jam 9.30 pagi dan akan pulang jam 1 tengah hari.

“Setiap kali bawa beca saya bergantung pada nasib. Ada hari-hari tertentu saya balik dengan tangan kosong kerana tiada seorang pun pelanggan,” katanya yang tinggal di Kampung Sungai Derhaka di sini.

Mohd Nasir membawa beca sekitar Pasar Payang, Kuala Terengganu untuk mencari pelanggan.
Mohd Nasir membawa beca sekitar Pasar Payang, Kuala Terengganu untuk mencari pelanggan.

Abdul Wahab yang lebih mesra dengan gelaran Pok Mat berkata, dia mula mengayuh beca sejak tahun 1970-an bagi menyara keluarga.

Artikel Berkaitan:

“Pendapatan pengayuh beca sekarang tidak menentu sebab dah tak ramai yang suka naik beca. Ada hari kalau bernasib baik dapatlah dalam RM20 atau RM30. Ada hari kami dapat banyak, ada hari satu sen pun kami tak dapat.

“Namun saya bersyukur dengan apa yang ada memandangkan saya sudah tiada tanggungan dan dua anak semuanya sudah besar,” ujarnya.

Seorang lagi pengayuh beca, Mamat Ibrahim, 79, dari Kampung Ladang Tok Pelam di sini berkata, dia pernah melalui pengalaman hanya mendapat seorang pelanggan selepas tiga hari mengayuh beca.

“Saya sukar dapat pelanggan walaupun tidak menetapkan kadar bayaran kepada mereka. Kita terima bayaran seikhlas hati.

“Ada yang bayar RM5 atau RM10, bergantung kepada destinasi dituju. Ada yang mahu pusing sekitar pusat bandar, Tanjung atau ke stesen bas,” katanya.

Sementara itu, Mohd Nasir Jusoh, 65, dari Rawai, Bukit Payong, Marang berkata, dia bertolak jam 6.30 pagi dari rumah untuk mencari pelanggan di Pasar Payang.

“Ada juga pada hari tertentu saya bertolak sebelum Subuh dan berhenti solat di tengah jalan. Biasanya saya akan bawa sekali anak untuk hantar ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Payong.

“Saya akan sampai di bandar Kuala Terengganu sekitar jam 8.30 pagi dan akan mula menunggu dan mencari pelanggan yang ingin menaiki beca,” katanya yang mengayuh beca sejak 10 tahun lalu.

Harap kerajaan pertimbang elaun pengayuh beca

Kerajaan negeri diharap dapat melaksanakan beberapa inisiatif bagi memastikan pengangkutan tradisional itu terus digunakan dan tidak hanya dijadikan ikon bagi negeri Terengganu.

Abdullah Mohamad, 68, berkata, bantuan elaun bulanan yang disalurkan seperti beberapa tahun sebelum ini amat membantu pengayuh beca untuk terus ‘bernafas’.

“Sebelum ini, kita ada dapat bantuan elaun bulanan sebanyak RM200 tapi dah lama bantuan ini tidak diagihkan. Mungkin juga akibat kekangan kewangan dialami kerajaan negeri ketika ini.

“Saya pun sudah lupa bila kali terakhir terima elaun ini. Mungkin sekitar lebih setahun yang lalu,” katanya.

Dalam pada itu Abdullah berkata, golongan pengayuh beca juga tidak terkecuali berdepan cabaran ekonomi lebih-lebih lagi dengan kenaikan harga barangan dan kos sara hidup yang tinggi.

“Kita harap masalah dialami pengayuh beca ini tidak dipandang sepi kerana mereka sudah berpuluh-puluh tahun berkecimpung dalam perkhidmatan ini.

“Kita harap beca tidak hanya tinggal nama dan sekadar dijadikan ikon negeri. Malah, kita juga berharap ada usaha untuk menjadikan kenderaan ini sebagai pengangkutan yang masih digunakan di Terengganu,” ujarnya.

Sehingga kini Abdullah berkata, terdapat kira-kira 10 pengayuh beca yang masih aktif berikutan ramai yang tidak lagi berkhidmat atas faktor usia dan kesihatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!