Yakin tarik minat generasi muda

Penganjuran Malaysia #QuranHour 2024 memberikan ruang khusus buat umat Islam meluangkan masa selama satu jam untuk menelaah dan menghayati al-Quran. Gambar kecil: Ungku Noorakmal
Penganjuran Malaysia #QuranHour 2024 memberikan ruang khusus buat umat Islam meluangkan masa selama satu jam untuk menelaah dan menghayati al-Quran. Gambar kecil: Ungku Noorakmal
A
A
A

SHAH ALAM - Penganjuran Malaysia #QuranHour 2024 memberikan ruang khusus buat umat Islam meluangkan masa selama satu jam untuk menelaah dan menghayati al-Quran.

Pengerusi Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia (MPAM), Ungku Noorakmal Ungku Sulaiman berkata, pihaknya sebagai entiti yang konsisten menyokong program tersebut setiap tahun yakin bahawa ia mampu menarik minat orang ramai lebih-lebih lagi generasi muda untuk mendekati dan ‘menjenguk’ sebentar inti pati kitab suci itu.

“Sejak Malaysia #QuranHour dijalankan selama 10 tahun, hampir 1,708 perpustakaan awam terlibat dalam menjayakan program ini sama ada di tempat masing-masing atau hadir ke lokasi utama.

“MPAM juga membantu dari segi hebahan dan promosi agar umat Islam dapat berhenti sejenak daripada melakukan apa-apa aktiviti serta kekal fokus dengan Malaysia #QuranHour tahun ini.

“Melalui tema yang dipilih iaitu ‘Jiwa Merdeka: Memaknai Rukun Negara’, program ini boleh menyebarkan mesej dakwah tentang kasih sayang, perdamaian, persaudaraan sejagat dan menjiwai prinsip Rukun Negara,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Ketika Majlis Taklimat Sinergi Media Malaysia #QuranHour 2024 pada 8 Julai lalu, Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub memaklumkan, penerapan dan pemahaman al-Quran dalam hati merupakan satu-satunya jalan penyelesaian untuk memperbaiki keruntuhan akhlak dalam kalangan masyarakat.

Katanya, untuk menjayakan misi tersebut, media perlu memainkan peranan dalam memperbetulkan akhlak masyarakat memandangkan negara ketika ini menghadapi masalah keruntuhan moral tinggi akibat perbuatan maki hamun dan fitnah berleluasa di media sosial.

Majlis taklimat tersebut turut dihadiri wakil media daripada Astro Oasis, TV9, Bernama, TV Alhijrah, Zayan, Astro Awani, Nu Ideaktiv, IKIM FM, Denaihati.com dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) selaku penyiar utama Malaysia #QuranHour.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Ungku Noorakmal berkata, pihaknya turut memainkan peranan penting dalam mengimarahkan acara berkenaan iaitu menerusi penyediaan ruang khas buat pelajar atau orang awam untuk membaca al-Quran ketika waktu senggang.

Tambah Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Johor (PPAJ) tersebut, akses kepada maklumat untuk penghayatan al-Quran juga disediakan bagi menambah ilmu pengetahuan agama.

“Kami berharap agar program ini akan terus berkembang sebagai salah satu inisiatif yang bukan sahaja menghubungkan umat Islam dengan al-Quran, tetapi juga membina jiwa berilmu, berakhlak dan berbakti kepada masyarakat,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!