Pemetaan utiliti: Libatkan pelbagai agensi, dapat gambaran menyeluruh

Pemetaan utiliti itu penting bagi mengenal pasti situasi di bawah tanah jika berlaku kejadian tidak diingini seperti di Masjid India. Foto Bernama
Pemetaan utiliti itu penting bagi mengenal pasti situasi di bawah tanah jika berlaku kejadian tidak diingini seperti di Masjid India. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Inisiatif Perak melaksanakan pemetaan utiliti dillihat sebagai salah satu usaha mengelakkan risiko bencana yang kemungkinan berlaku tanpa disedari.

Pensyarah Kanan Perancangan Bandar dan Wilayah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mohamad Fadhli Rashid bagaimanapun menjelaskan, langkah itu lebih baik sekiranya melibatkan pembabitan pelbagai agensi berkaitan agar pemetaan dapat menggambarkan secara menyeluruh sesuatu kawasan terlibat.

Katanya, pembangunan utiliti atau infrastruktur membabitkan bekalan elektrik dan sebagainya telah lama dibangunkan di negara ini sekitar 1960.

“Kalau tengok bukan sekadar utiliti berkaitan elektrik, namun bekalan air termasuk perpaipan membabitkan kebocoran non revenue water (NRW) di mana ada negeri-negeri yang masih dapat air kotor sebab perpaipan lama tidak ditukar.

“Jadi saya rasa pemetaan utiliti itu boleh melihat daripada pelbagai jenis utiliti yang ada, mungkin dirangkum sekali contoh Tenaga Nasional Berhad (TNB) diberi kuasa untuk pembekalan elektrik...syarikat air negeri dari segi perpaipan, dari segi telekomunikasi pun sama daripada syarikat pembekal.

“Inisiatif yang bagus tetapi kalau boleh dirangkum semua sebab kebanyakan kawasan hampir sama contoh jajaran jalan majoriti guna pakai yang sama. Kalau tak silap bahagian sisi jalan ialah lintasan atau laluan elektrik, bawah pula perpaipan (bekalan air), jadi bagus untuk melihat pemetaan pelbagai peringkat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau berkata, dengan adanya pemetaan utiliti menunjukkan setiap lapisan tanah itu juga kemungkinan mempunyai kesesuaian diletakkan dengan jenis utiliti yang berbeza.

“Kalau ikutkan apa sahaja pembangunan kita akan sediakan pelbagai garis panduan sebab ada macam-macam garis panduan yang dikemukakan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalays) yang sepatutnya digunakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), majlis perbandaran dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

“Jadi sebenarnya benda itu dah ada cuma perlu ditekankan supaya apa-apa jajaran untuk utiliti bawah tanah mahupun atas tanah perlu disertakan dalam talian mungkin yang boleh kita nampak dalam peta online contoh geographic information systems (GIS),” katanya.

Menurut beliau, dengan adanya pemetaan secara menyeluruh, ia boleh dijadikan panduan kepada apa jua jenis pembangunan yang ingin dilaksanakan pada masa akan datang.

“Inisiatif Perak sangat baik dan boleh dirangkul oleh semua supaya nampak keadaan semasa infrastruktur atau utiliti sedia ada termasuk di seluruh Malaysia.

“Contoh apabila berlaku jalan berlubang, jadi yang akan turap ialah Jabatan Kerja Raya atau syarikat yang diberi tanggung jawab, majlis perbandaran atau sebagainya.

“Bila tutup lubang kadang-kadang ada sistem pembetungan di bawah jalan contohnya bila berlaku apa-apa, jalan itu dikorek balik untuk cari mana puncanya.

“Jadi kalau kita ada pemetaan terkini, apabila berlaku kebocoran perpaipan bawah tanah kita boleh tahu lebih jelas bahagian mana lokasi sebenar patut ditutup,” jelasnya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Koridor Utiliti Darul Ridzuan (KUDR) akan diberi tanggungjawab melaksanakan pemetaan utiliti di Perak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pemetaan utiliti itu penting bagi mengenal pasti situasi bawah tanah jika berlaku kejadian tidak diingini seperti tanah jerlus.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!