Bumi semakin tua, perlu rawatan segera
SABTU ini kita akan menyambut Hari Kebangsaan ke-67. Jika dibandingkan dengan umur manusia, angka 67 sudah berada dalam kategori warga emas dan kebiasaannya mempunyai pelbagai penyakit kronik.
Jarang-jarang untuk kita menemui individu yang berada pada usia seperti itu sihat tanpa sebarang penyakit kronik.
Jika dikira umur bumi pula, sudah pasti amat-amat tua melebihi 4 bilion tahun dan ramai percaya kita sudah berada pada fasa-fasa akhir.
Disebabkan keadaan bumi yang uzur ini, kita dapat perhatikan banyak bencana yang tidak pernah disaksikan sebelum ini, terjadi di mana-mana.
Gempa bumi, cuaca ekstrem, tanah runtuh, banjir dan macam-macam musibah berlaku hingga menyebabkan kerugian nyawa dan harta benda.
Ditambah pula dengan pencemaran dan kerosakan dilakukan tangan-tangan manusia sendiri, alam sekitar menjadi lebih rosak.
Terkini kita dikejutkan dengan kejadian tanah jerlus di Masjid India, Kuala Lumpur yang mangsanya wanita India masih tidak dapat dikesannya mayatnya ke mana dia menghilang dibawa arus.
Begitu dahsyat keadaan di bawah sana yang tidak mampu kita lihat bagaimana keadaan yang sebenarnya.
Pada Isnin pula, satu kejadian longkang runtuh sehingga mengakibatkan lubang besar berlaku di Jalan Pantai Permai, Kampung Kerinchi.
Dalam keadaan cuaca tidak menentu dan ekstrem ini, dibimbangi akan berlaku siri-siri tanah runtuh atau mendap dalam masa terdekat.
Sewajarnya buat masa ini, segala aktiviti pembangunan hendaklah dinilai semula kerana keadaan muka bumi yang semakin tua.
Contohnya di kawasan bandar yang sedia ada padat dengan bangunan pencakar langit, dibina lagi bangunan lain membuat kawasan tersebut bertambah padat.
Hinggakan kita sebagai orang awam hairan bagaimana kelulusan pembinaan boleh diberikan.
Oleh itu, utamakan proses untuk merawat bumi kerana tanpa tindakan tersebut, risiko lebih besar akan menimpa kita semua.
Kerajaan juga perlu memperuntukkan dana yang lebih besar bagi memelihara alam sekitar dan ia adalah lebih baik berbanding kos yang diperlukan untuk membaik pulih kerosakan selepas musibah.
Bersama-sama kita bekerjasama menjaga bumi bertuah ini dengan baik demi manfaat generasi masa depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!