2 anggota polis tertimbus ketika musnahkan bom dilapor stabil

Lokasi dua anggota Unit Pemusnah Bom IPK Johor yang tertimbus ketika menjalankan tugas pemusnahan bom di Taman Sri Lambak, Kluang, petang Selasa. Foto IPD Kluang
Lokasi dua anggota Unit Pemusnah Bom IPK Johor yang tertimbus ketika menjalankan tugas pemusnahan bom di Taman Sri Lambak, Kluang, petang Selasa. Foto IPD Kluang
A
A
A

KLUANG - Dua anggota polis yang cedera selepas tertimbus semasa menjalankan tugas pemusnahan bom di tapak perumahan, Jalan Tabah Taman Sri Lambak, di sini pada petang Selasa, kini dilaporkan dalam keadaan stabil.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisoner Bahrin Mohd Noh berkata, kedua-dua anggota polis yang sebelum ini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom telah dipindahkan ke wad.

"Kedua-duanya merupakan anggota unit pemusnah bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.



"Koperal Abdul Halim, 39, dilaporkan patah tulang pinggul dan tiga tulang rusuk sebelah kiri manakala Koperal Muhammad Faruuqi Shamsary, 34, patah tulang paha dan tulang rusuk sebelah kiri," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Dalam kejadian pada jam 2.20 petang itu, kedua-dua anggota terbabit dalam penugasan melupuskan bom lama yang ditemui orang awam di lokasi kejadian.

Namun, ketika kerja-kerja pelupusan dijalankan berlaku runtuhan tanah pada dinding lubang di lokasi pemusnahan bom sehingga menyebabkan kedua-dua anggota terbabit tertimbus dan cedera.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!