Penganggur, isteri putih mata wang simpanan lebih RM300,000 lesap

Akibat terpengaruh dengan pulangan lumayan dalam masa singkat, seorang penganggur berputih mata apabila duit simpanannya bersama isteri berjumlah RM348,500 lesap ditipu skim pelaburan tidak wujud. Gambar hiasan (Gambar kecil: Yahaya)
Akibat terpengaruh dengan pulangan lumayan dalam masa singkat, seorang penganggur berputih mata apabila duit simpanannya bersama isteri berjumlah RM348,500 lesap ditipu skim pelaburan tidak wujud. Gambar hiasan (Gambar kecil: Yahaya)
A
A
A

KUANTAN - Akibat terpengaruh dengan pulangan lumayan dalam masa singkat, seorang penganggur berputih mata apabila duit simpanannya bersama isteri berjumlah RM348,500 lesap ditipu skim pelaburan tidak wujud.

Kejadian bermula apabila lelaki berusia 47 tahun itu menerima panggilan daripada seorang individu yang menawarkan pelaburan di United Kingdom pada 17 April lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa diminta memuat turun satu aplikasi dan diberikan latihan atas talian mengenai cara membuat palaburan dalam sistem tersebut.

"Dalam tempoh 18 Jun hingga 10 Ogos lalu, mangsa telah melakukan 10 kali transaksi pemindahan wang berjumlah RM348,500 ke dalam akaun bank yang diberi oleh suspek.

"Mangsa mula menyedari ditipu setelah suspek meminta wang RM101,000 lagi sekiranya tidak berminat untuk meneruskan pelaburan tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau memaklumkan sumber kewangan adalah wang simpanan mangsa dan isterinya.

"Susulan itu, mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daeah Kuantan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

Sehubungan itu, pihak Polis Kontinjen Pahang menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan sindiket pelaburan tidak wujud.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, orang ramai dinasihat tidak mudah terpengaruh dengan skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan.

"Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!