Satu lagi mendapan baharu dikesan di Jalan Masjid India

Satu lagi mendapan baharu dikesan di Jalan Masjid India dianggarkan sebesar dua kaki, terbentuk kira-kira 50 meter dari lokasi insiden minggu lalu. Foto Awani
Satu lagi mendapan baharu dikesan di Jalan Masjid India dianggarkan sebesar dua kaki, terbentuk kira-kira 50 meter dari lokasi insiden minggu lalu. Foto Awani
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kejadian tanah mendap dilihat berlaku kira-kira 50 meter dari lokasi insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India di sini.

Kejadian tanah mendap itu dipercayai berlaku sekitar 2.30 pagi tadi selepas hujan lebat dan ribut pada Selasa malam.

Bagaimanapun, tinjauan di lokasi mendapati kawasan itu telah ditutup sepenuhnya oleh pasukan keselamatan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Orang awam juga tidak dibenarkan berada di lokasi berkenaan.

Kejadian tanah jerlus pada Jumaat lepas menyebabkan seorang wanita dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, dari Kuppam, Andhra, India hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter di situ dengan operasi mencari dan menyelamat memasuki hari keenam hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Suliezmy Affendy Sulaiman ketika ditemui pemberita mengesahkan berlaku kejadian mendapan tanah di Jalan Masjid India.

Beliau berkata, perbincangan sedang dilakukan untuk memperluaskan penutupan jalan dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan kemudian.

Operasi SAR mangsa tanah jerlus disambung pagi ini

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah jerlus di Jalan Masjid India di sini bersambung semula pagi Rabu selepas ditangguhkan pada 7.30 petang Selasa, ekoran hujan lebat.

Tinjauan Bernama di lokasi pada 8 pagi mendapati pasukan SAR terdiri daripada polis, bomba, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Angkatan Pertahanan Awam sudah berada di lokasi kejadian.

Operasi SAR yang masuk hari keenam pada Rabu difahamkan akan bermula dengan perbincangan antara lain berkaitan teknik, kaedah dan penugasan selain kerja survei oleh Jabatan Mineral dan Geosains melibatkan lokasi dari pintu gerbang Masjid India ke hadapan kawasan masjid.

Tinjauan juga mendapati kawasan sekitar lokasi lengang kerana pihak berkuasa melarang orang ramai berada berhampiran lokasi operasi SAR.

Operasi SAR diaktifkan pada hari sama melibatkan anggota daripada pelbagai pasukan keselamatan dan pihak berkuasa tempatan yang telah menggunakan pelbagai teknik termasuk penggunaan anjing pengesan.

Sementara itu, tinjauan di Loji Indah Water Konsortium (IWK) Pantai Dalam di sin,i mendapati pasukan SAR tiba pada jam 9.05 pagi dan mula menyusun peralatan yang akan digunakan hari ini.

Antara peralatan itu alat bantuan pernafasan yang dipercayai untuk kegunaan anggota yang akan turun ke tangki kumbahan sedalam 15 meter di loji berkenaan.

Bagaimanapun difahamkan, tindakan itu juga bergantung kepada situasi semasa operasi di Jalan Masjid India.

Sejak hari kejadian, pasukan SAR turun ke tangki berkenaan sebanyak dua kali iaitu pada Ahad dan Isnin namun tidak menemukan sebarang petunjuk keberadaan mangsa.

Pasukan SAR di sini juga telah melakukan teknik carian di permukaan 'surface searching' semalam yang berlangsung kira-kira sejam sebelum operasi SAR hari kelima ditangguhkan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!