Dua maut, lori bertembung treler masuk gaung
TEMERLOH - Dua lelaki warga asing maut selepas lori dinaiki mereka terbabas lalu bertembung dengan treler sehingga terjatuh ke dalam gaung di jalan utama Bukit Damar, Lanchang di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, dalam kejadian jam 9.26 malam itu, mangsa iaitu seorang warga Bangladesh berusia 37 tahun dan warga Pakistan berusia 35 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurutnya, tiga lagi mangsa iaitu pemandu lori berusia 28 tahun dan penumpang lori yang juga warga Bangladesh berusia 30 tahun serta pemandu treler berusia 38 tahun cedera dan sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh di sini.
"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu lori dari Raub hendak ke Kuantan.
"Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu lori terbabas ke kiri jalan dan masuk semula ke laluan utama sebelum ke laluan bertentangan.
"Tiba-tiba datang treler dari arah hadapan tidak sempat mengelak lalu terlanggar bahagian hadapan lori itu dan kedua-dua kenderaan terbabas masuk ke dalam gaung di sebelah kanan jalan sejauh 20 meter," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Ujar beliau, kedua-dua kenderaan tidak membawa muatan ketika kejadian.
"Akibat kemalangan tersebut, dua penumpang lori mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan kedua-duanya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Lanchang," kata Mazlan lagi.
Jelasnya, tiga lagi mangsa iaitu pemandu lori dan penumpang serta pemandu treler mengalami kecederaan dan dibawa ke HoSHAS untuk menerima rawatan.
Tambahnya, bedah siasat akan dijalankan selepas hasil saringan ujian Covid-19 diperolehi dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!