Fuziah dilantik Pengerusi PH Pahang baharu

Fuziah (tiga dari kanan) bersama kepimpinan PH Pahang.
Fuziah (tiga dari kanan) bersama kepimpinan PH Pahang.
A
A
A

KUANTAN - Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN), Fuziah Salleh sekali lagi dilantik Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pahang bagi menggantikan Datuk Seri Amirudin Saari.

Lantikan itu telah diputuskan dalam Mesyuarat Pakatan Harapan (PH) negeri pada Isnin.

Fuziah berkata, PH negeri merakam penghargaan atas usaha mantan pengerusi, yang merupakan Menteri Besar Selangor itu dalam membentuk Kerajaan Perpaduan bersama Barisan Nasional (BN).

"Komitmen dan kesungguhan beliau menyaksikan buat pertama kali dalam sejarah negara pembentukan Kerajaan Perpaduan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dalam mesyuarat itu, Fuziah memaklumkan, PH Pahang bersepakat untuk mendukung persefahaman bersama yang telah ditandatangani dan akan terus memperkukuhkan Kerajaan Perpaduan di Pahang.

Jelasnya, ini selaras dengan dasar perpaduan dan muafakat dalam perkongsian kuasa bersama.

"Sesungguhnya pembentukan kerajaan Pahang hari ini adalah hasil sumbangan kerusi yang dimenangi PH dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang lalu.

"PH juga perlu diberikan peranan dan pengiktirafan sewajarnya selari dengan Perjanjian Persefahaman penubuhan Kerajaan Perpaduan Pahang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Fuziah berkata, PH Pahang juga memutuskan untuk melibatkan lebih ramai pendukung mereka dalam struktur akar umbi Kerajaan Perpaduan Pahang.

Tegasnya, ini sebagai persiapan menghadapi PRU-16.

"Dengan langkah-langkah ini, kita berazam untuk terus memperkukuhkan kerjasama dan memastikan kestabilan politik di negeri ini," katanya.

Sebelum itu, Fuziah memberitahu, PH menyatakan sokongan padu kepada Sultan Pahang Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah dan menzahirkan ikrar untuk mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu, khususnya Sultan Pahang.

Ini berikutan isu yang timbul daripada kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional yang didakwa mempertikaikan kebijaksanaan Tuanku dalam melantik Perdana Menteri ke-10.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!