GENTAR panduan kakitangan NAFAS bebas rasuah
PETALING JAYA - Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) melancarkan Strategi Pembanterasan Rasuah Organisasi (OACS) bagi 2024 hingga 2028 yang dikenali sebagai GENTAR, pada Selasa.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ia merupakan panduan kepada kakitangan NAFAS dalam usaha pemantapan tatakelola melalui prinsip ketelusan, keberkesanan pentadbiran, berintegriti dan antirasuah.
"Reformasi tadbir perlu dilakukan perlu segera merangkumi tatakelola itu datang daripada (jawatan) paling atas iaitu Perdana Menteri, menteri-menteri hingga ke Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan pegawai tinggi lain.
"Kita boleh melihat terutama sekali dalam kalangan pegawai kerajaan atau menteri. Kita tahu kalau pegawai kerajaan pangkat ini, gaji dia (banyak) ini, pendapatan dia begini.
"Tapi kalau kita lihat kehidupannya itu luar biasa, sudah tentulah kita kena siasat di mana pendapatan yang luar biasa itu. Belum tentu rasuah, tapi kita kena siasat," katanya ketika sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran OACS 2024-2028 atau GENTAR pada Selasa.
Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mahfuz Omar; Pengerusi Jemaah Pengarah NAFAS,Datuk Zamri Yaakob; Timbalan Ketua Pengarah Operasi LPP, Nik Mohd Shaharil Nik Md Hashim; Timbalan Pengarah Bahagian Perancangan Governans Nasional Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Mohd Gunawan Che Ab Aziz dan Pengurus Besar NAFAS, Muhammad Faris Arriffin.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, integriti merupakan aspek paling penting dalam memerangi rasuah dan bukannya undang-undang.
"Undang-undang ini kadang-kadang ada 'jalan' boleh elak tapi integriti ini jarang boleh elak, dia sendiri yang perlu mendisiplinkan diri (untuk jauhi rasuah)," ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Jemaah Pengarah NAFAS, Datuk Zamri Yaakob berkata, lima aspek utama GENTAR adalah pentadbiran, tadbir urus korporat, perolehan, kewangan dan operasi bakal menjadi panduan kakitangan NAFAS.
Tambah beliau, ia sekali gus dapat memberi impak yang besar kepada penyampaian perkhidmatan yang diberikan NAFAS kepada rantaian LPP di seluruh negara.
Katanya, panduan berkenaan juga akan dimanfaatkan di setiap peringkat organisasi bagi memastikan OACS atau GENTAR tidak sia-sia.
"Pada masa akan datang, ia juga dapat memberi impak yang besar kepada penyampaian perkhidmatan yang diberikan NAFAS kepada rantaian LPP di seluruh negara.
"Selain itu, pengiktirafan NAFAS sebagai badan awam di bawah Akta SPRM adalah wajar bagi memelihara dan memastikan kepentingan kerajaan dan ahliahli peladang lebih terjamin.
"Ini merupakan satu pengiktirafan yang perlu dipikul dengan lebih bertanggungjawab dalam melaksanakan amanah dan tadbir urus LPP," ujarnya.
Menurutnya, kebersamaan semua pihak adalah penting dalam usaha meningkatkan sahsiah dan integriti di dalam organisasi, seterusnya kepada negara.
Tambah beliau, NAFAS kini telah dikategorikan sebagai risiko sederhana bagi penarafan 2023 berbanding risiko tinggi pada 2020.
"Syabas kepada semua pihak yang terlibat di atas komitmen yang dilaksanakan dalam usaha pencegahan rasuah serta berkaitan tadbir urus dan integriti di NAFAS.
"Semoga usaha kita akan berterusan sehingga NAFAS dapat dikategorikan sebagai risiko rendah bagi penarafan seterusnya kelak," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!