Penganggur ditahan bersama syabu, dua senjata api buatan sendiri

Dadah dan senjata api buatan sendiri dirampas selepas seorang lelaki berusia 40 tahun ditahan dalam serbuan di Kampung Baru Belenggu,Temerloh pada Selasa. Foto ihsan PDRM
Dadah dan senjata api buatan sendiri dirampas selepas seorang lelaki berusia 40 tahun ditahan dalam serbuan di Kampung Baru Belenggu,Temerloh pada Selasa. Foto ihsan PDRM
A
A
A

TEMERLOH - Seorang penganggur ditahan bersama dadah disyaki syabu dan dua laras senjata api buatan sendiri di Kampung Baru Belenggu di sini, pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, lelaki berusia 40 tahun itu ditahan kira-kira jam 11 malam dalam serbuan yang dijalankan pihak polis selepas menerima maklumat orang awam.

Menurutnya, sebuah beg silang mengandungi satu plastik besar lut sinar dirampas selepas ditemui dalam sebuah rumah.

"Terdapat lapan plastik kecil lut sinar yang di dalamnya masing-masing berisi ketulan dan serbuk kristal disyaki dadah berbahaya jenis syabu, seberat kira-kira 55 gram bernilai RM6,500.

"Hasil rampasan juga membabitkan dua laras senjata api buatan sendiri," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Ujarnya, suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine dan memiliki satu rekod lampau berkaitan dadah.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan Seksyen 6 Akta Senjata Api.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!