60,000 dijangka hadir sambutan Hari Kebangsaan di Selangor

Mohd Yazid Sairi
Mohd Yazid Sairi
A
A
A

SHAH ALAM - Lebih 60,000 rakyat Selangor dijangka memeriahkan pelbagai acara termasuk perbarisan dan perarakan sempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Selangor di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada tahun ini.

Menurut Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohd Yazid Sairi, seperti tahun-tahun sebelumnya, kerajaan negeri menganjurkan Sambutan Hari Kebangsaan Kali ke-67 Peringkat Negeri Selangor pada setiap 30 Ogos bermula jam 8 malam.

"Majlis sambutan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam ini akan dirasmikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan akan turut dihadiri seluruh pimpinan tertinggi kerajaan negeri Selangor," katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Tahun ini negeri Selangor mengangkat tema sama dengan kerajaan Persekutuan iaitu Jiwa Merdeka membawa maksud perlambangan kesepaduan secara holistik negara maju dan progresif, menaungi rakyat berbilang kaum, bersatu hati dan teguh jati dirinya.

Jelasnya, kerajaan negeri turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik bermula seawal jam 4.50 petang hingga ke acara kemuncak pada detik tanggal 31 Ogos sebagai usaha menyemarakkan semangat patriotisme dan cinta terhadap negara.

Antara aktiviti buat pengunjung adalah majlis selawat dan qasidah diselaraskan Jabatan Agama Islam Selangor, perarakan serta perbarisan, persembahan taktikal dan pentomen, tarian, pertunjukan bunga api, laser juga persembahan artis terkenal.

"Pada tahun lepas kita mengundang Datuk Awie dan tahun ini kerajaan negeri membawakan artis terkemuka nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan kita juga ada penyanyi yang banyak lagu patriotik, Faizal Tahir.

"Kita juga mengundang penyanyi bersuara sangat patriotik, Roy dan tidak lupa band untuk orang muda iaitu Projector Band," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, ujarnya, tahun ni pihak penganjur juga mengadakan pertandingan teka kacang dalam balang khusus untuk semua pengunjung yang hadir dengan tawaran hadiah lumayan berupa sebuah motosikal Honda ADV160 berharga RM14,000.

"Walaupun borang pertandingan ini dibuat secara dalam talian namun pengunjung perlu hadir di tapak program dan acara ini adalah antara acara ditawarkan hadiah lumayan kepada rakyat Selangor sempena sambutan Hari Kebangsaan," ujarnya.

Dalam pada itu, pengunjung dinasihatkan untuk datang awal dan mematuhi peraturan setiap masa bagi melancarkan perjalanan majlis dan sentiasa menjaga keselamatan diri serta keluarga terutamanya kanak-kanak memandangkan jumlah pengunjung dijangka agak sesak.

"Walau bagaimanapun, pihak urusetia menyediakan kemudahan-kemudahan tertentu seperti tunjuk arah, tempat parking, kemudahan pengangkutan, surau, tandas, tempat makan dan lain-lain lagi untuk keselesaan pengunjung.

"Sila patuhi peraturan ditetapkan pihak yang berkaitan untuk memudahkan urusan logistik dan keselesaan kepada semua," ujarnya.

Jelasnya, penganjuran program ini bermatlamat untuk meningkat semangat patriotism, menghargai erti kemerdekaan dan menyemat jiwa cinta akan keamanan dan perpaduan selaras dengan elemen dan matlamat sambutan hari kebangsaan kerajaan pada tahun ini iaitu Jiwa Merdeka.

"Jadi saya mewakili pihak kerajaan negeri Selangor menyeru dan menjemput semua warga Selangor dan sekitarnya untuk sama-sama hadir ke program ini beramai-ramai sebagai lambing manifestasi kita meraikan sambutan Hari Kebangsaan ke-67.

"Selain itu, pada program ini juga rakyat berpeluang untuk kenal dengan lebih dekat pimpinan-pimpinan utama yang mentadbir kerajaan negeri selain inisiatif-inisiatif yang diperkenalkan khusus untuk warga Selangor," tambahnya.

Orang ramai boleh melayari media sosial Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (PSUK) atau melayari laman sesawang www.selangor.gov.my untuk mendapatkan maklumat terkini berhubung program dan jadual trafik.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!