'Dah hampir selesai makan, nampak ulat bergerak-gerak dalam makanan'
KUALA LUMPUR - Seorang wanita berkongsi pengalaman buruk menikmati makanan berulat yang dibeli menerusi aplikasi atas talian.
Kejadian tersebut ditularkan menerusi aplikasi X, dilaporkan berlaku pada Ahad selepas mangsa bersama rakan membuat tempahan beberapa set hidangan seperti ikan keli, dendeng balado dan ayam geprek dari sebuah restoran di Chow Kit.
Kongsinya, mereka hanya menyedari salah satu set makanan itu berulat ketika sudah hampir selesai menjamu selera.
"Kami hampir selesai makan apabila tersedar terdapat ulat bergerak dalam makanan.
"Kami ambil video sebagai bukti dan ia amat meloyakan. Kawan saya terus termuntah," kongsinya menerusi ciapan di aplikasi X.
Menerusi ciapan sama, pengadu memaklumkan aduan telah dibuat kepada platform penyedia perkhidmatan tersebut.
Katanya, sebanyak dua kali aduan dikemukakannya melibatkan tempahan tidak lengkap dan kedua makanan diterima dalam keadaan berulat.
Ujarnya, kes makanan berulat itu bukan yang pertama berlaku di restoran berkenaan apabila mangsa lain turut berkongsi situasi sama.
Selain itu katanya, terdapat juga aduan daripada pengguna lain yang ada antaranya menerima makanan sudah berbau dan seakan basi.
"Kami terkejut yang kes kami bukan yang pertama. Macam mana kedai ini masih beroperasi @KKMPutrajaya.
"(Kualiti) teruk tapi dekat aplikasi dapat penarafan 4.9 bintang dengan lebih 1,000 ulasan," luahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!